
Telur RM5.90 Sepapan, MADANI Mart Tawar Harga Promosi Pembukaan Hingga Esok
Cawangan pertama kedai runcit komuniti yang dikenali sebagai MADANI Mart telah rasmi dibuka di Indera Mahkota 8, Kuantan hari ini.
Sempena pembukaannya, kedai itu telah menawarkan harga promosi selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 April.
Berita gembira itu dikongsi menerusi platform TikTok Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Sempena promosi tersebut, barang-barang asas seperti telur, beras dan minyak ditawarkan dengan harga jauh lebih murah. Menurut beliau lagi, harga satu papan telur Gred C ditawarkan pada harga RM5.90 sepapan.
"Pembelian ini terhad kepada 2 tray dalam satu kali transaksi," ujarnya lagi.

Selain itu, harga satu pek Milo berjisim 900g pula ditawarkan pada harga 14.50. Bukan itu sahaja, barang asas lain seperti beras juga ditawarkan dengan harga murah iaitu RM27 untuk 10kg.
"Beras import juga dijual dengan harga tempatan," tambah beliau.
Barang asas lain seperti minyak masak juga turut ditawarkan dengan harga RM21.70 untuk 5kg.
"Sewaktu jualan rahmah dan selepas jualan rahmah, harga tetap rahmah. Tapi waktu jualan rahmah, harganya rahmah berganda," katanya lagi.
MADANI Mart rasmi dibuka hari ini
Pembukaan MADANI Mart telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selain Fuziah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi turut hadir.
MADANI Mart ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk meringankan beban serta kos sara hidup rakyat.

Inisiatif MADANI Mart yang diterajui oleh Yayasan MADANI merupakan konsep kedai komuniti yang menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai oleh rakyat.
Ia juga satu pendekatan strategik yang signifikan dalam menangani cabaran kos sara hidup rakyat secara lebih menyeluruh dan bersasar.
Dalam pada itu, MADANI Mart juga turut menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia dengan matlamat memastikan setiap DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.

