
Setelah hampir dua tahun dalam tampuk pemerintahan, rakyat masih tertanya-tanya: di manakah janji-janji ketelusan dan akauntabiliti yang sering diungkapkan oleh kerajaan Madani? Beberapa isu telah timbul, melibatkan dana awam berbilion ringgit. Isu-isu ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Rakyat mempunyai hak untuk tahu ke mana perginya wang mereka dan siapa yang bertanggungjawab atas setiap sen yang dibelanjakan.
Antara isu paling hangat diperkatakan ialah dakwaan wujudnya kartel baja dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang mengawal kontrak bernilai RM1.8 bilion. Bagaimana dana awam sebesar ini boleh diserahkan kepada sekumpulan pihak tertentu tanpa pengawasan ketat? Apakah kriteria sebenar yang digunakan dalam pemberian kontrak ini? Adakah proses itu sekadar formaliti untuk melindungi kepentingan segelintir individu?
Selain itu, isu Khazanah Nasional juga memerlukan penjelasan segera. Sebagai pemegang amanah kekayaan negara, badan ini bertanggungjawab untuk memastikan pelaburan yang memberi keuntungan kepada rakyat. Namun, Khazanah mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta dalam pelaburan di FashionValet. Bagaimana pelaburan sebesar ini boleh rugi sedemikian rupa? Apakah tiada kajian risiko sebelum melaburkan wang rakyat? Rakyat perlu tahu sama ada keputusan ini dibuat atas asas yang kukuh atau adakah ia satu lagi tindakan semberono.
Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan audit terhadap lebih 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah meningkatkan ketelusan. Persoalannya, adakah hasil audit ini akan didedahkan kepada umum? Jika audit ini mendapati penyelewengan atau salah urus, adakah kerajaan akan bertindak tegas atau sekadar memberi amaran tanpa kesan nyata? Audit ini hanya bermakna jika hasilnya didedahkan dan tindakan diambil terhadap pihak yang bersalah. Jika tidak, ia hanya sekadar gimik politik untuk meredakan kemarahan rakyat.
Pemilihan U Mobile untuk Konsesi 5G: Kepentingan Negara atau Kepentingan Tertentu?
Pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua turut mencetuskan tanda tanya besar. Mengapa U Mobile, yang mempunyai pemegang saham luar negara seperti Temasek Holdings dari Singapura, dipilih mengatasi syarikat-syarikat tempatan yang lebih berpengalaman? Adakah ini keputusan terbaik untuk negara atau sekadar memenuhi kepentingan tertentu?
Lebih membingungkan lagi, antara pemegang saham utama U Mobile adalah DYMM Sultan Ibrahim yang kini menjawat sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan serta kebebasan dari pengaruh luar dan kepentingan tertentu. Infrastruktur 5G adalah elemen kritikal dan memerlukan pengurusan yang bebas dari unsur kepentingan peribadi.
Kerajaan PH-BN perlu ingat bahawa mereka bukan sahaja pentadbir tetapi juga pemegang amanah rakyat. Dana awam bukan alat untuk memperkayakan golongan tertentu. Jika berlaku salah guna kuasa atau pelaburan yang tidak menguntungkan, mereka perlu bertanggungjawab dan mengambil tindakan. Ini adalah tanggungjawab asas sebuah kerajaan yang menjunjung prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Kehilangan dana awam akibat pelaburan yang kurang berkesan, salah urus atau korupsi adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng. Wakil rakyat harus bertindak untuk memastikan segala perbelanjaan dana awam dipantau dengan teliti. Ketelusan adalah kunci dalam mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, dan laporan kewangan serta audit harus dipamerkan secara terbuka untuk memastikan tiada unsur manipulasi.
Rakyat semakin sedar dan peka. Mereka sudah muak dengan janji-janji kosong dan permainan politik. Jika kerajaan gagal menguruskan dana rakyat dengan cekap, bagaimana mereka boleh mengharapkan kepercayaan rakyat? Kes-kes seperti kartel baja Nafas, kerugian pelaburan Khazanah, dan kontroversi konsesi 5G kepada U Mobile adalah isyarat kegagalan pentadbiran ini.
Akhirnya, persoalan yang tidak dapat dielakkan ialah: Adakah kerajaan Madani benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat atau sekadar meneruskan legasi politik lama yang lebih menguntungkan segelintir pihak?
Oleh: Dr. Mahathir Mohd Rais, Setiausaha Negeri Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan

Dr. Mahathir adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
