Teman lelaki Nur Farah Kartini direman seminggu

16 Jul 2024 • 10:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suspek dibawa anggota polis selepas proses reman di Mahkamah Kuala Kubu Bharu. Foto Astro AWANI

HULU SELANGOR - Seorang lelaki dipercayai teman lelaki kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang disyaki membunuh wanita berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun yang merupakan penjawat awam dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Siasatan ke atas suspek dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, suspek ditangkap di Balai Polis Gedangsa di sini.

Suspek yang memakai pakaian lokap polis tiba di Mahkamah Kuala Kubu Bharu dengan menaiki kenderaan polis pada jam 8.53 pagi.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang di sini kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati, mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.