Tembak Empat Peluru Berpandu: Serangan Dron Israel Ragut Nyawa di Gaza, Cabar Perjanjian Gencatan Senjata

WorldPolitics
13 Jul 2026 • 8:36 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: Tembak Empat Peluru Berpandu: Serangan Dron Israel Ragut Nyawa di Gaza, Cabar Perjanjian Gencatan Senjata

Seorang rakyat Palestin terkorban manakala dua lagi cedera parah selepas sebuah dron milik tentera Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan sebuah kenderaan awam di barat kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika rejim Israel terus-menerus melanggar perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza yang telah dikuatkuasakan sejak Oktober lalu.

Menurut sumber perubatan, mayat mangsa yang terkorban serta dua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Syahid al-Aqsa di Deir al-Balah sejurus selepas kenderaan yang sedang bergerak berhampiran Bukit Al-Nuwairi itu dibom.

Memetik laporan agensi berita Anadolu yang menemu bual saksi di tempat kejadian, dron Israel berkenaan telah melepaskan sekurang-kurangnya empat butir peluru berpandu ke arah kenderaan terbabit serta kawasan sekitarnya secara berturut-turut.

Saksi menjelaskan bahawa peluru berpandu pertama tepat mengenai kenderaan tersebut ketika ia sedang melintasi kawasan Bukit Al-Nuwairi.

Tindakan kejam diteruskan apabila peluru berpandu kedua dan ketiga disasarkan ke arah orang ramai yang cuba bertaburan melarikan diri selepas serangan pertama. Manakala, peluru berpandu keempat pula meletup berhampiran kenderaan tersebut ketika penduduk setempat sedang bergegas untuk memindahkan mangsa-mangsa yang cedera.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa sehingga hari Sabtu, siri pencabulan gencatan senjata oleh pihak Israel di wilayah itu telah mengorbankan seramai 1,098 rakyat Palestin dan menyebabkan 3,535 yang lain cedera.

Semenanjung Gaza dilaporkan mengalami kemusnahan skala besar akibat kempen pembunuhan beramai-ramai (genosid) oleh Israel sejak konflik meletus pada 8 Oktober 2023. Sehingga kini, data rasmi Palestin menunjukkan lebih 73,000 rakyat Palestin telah terkorban manakala lebih 173,000 lagi cedera.

Serangan ketenteraan tanpa henti oleh Israel itu turut memusnahkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur di kawasan enklaf yang terkepung berkenaan.

SUMBER: TRT World / Agensi Anadolu (AA)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved