Tembelang Terbongkar, Suami Isteri ‘Palsu’ Hilangkan Diri

26 May 2024 • 6:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasangan yang viral selepas dilihat menunggang motosikal bersama anak berpenyakit kronik.

KUALA LUMPUR - Selepas tembelang mereka terbongkar, pasangan suami isteri ‘palsu’, Mohd Azlan Ishak dan Norhidayu Halim diberitakan telah menghilangkan diri.

Harian Metro melaporkan, panggilan dibuat ke telefon bimbit mereka tidak berjawab, malah talian turut dimatikan.

Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi, Seberang Kota Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Mualim dipetik sebagai berkata, kediaman lelaki berusia 35 tahun itu telah dipantau rapi, tetapi dia gagal dikesan.

Mohd Azlan juga didapati telah meninggalkan ibunya yang menghidap angin ahmar sendirian, namun wanita tersebut berada di bawah pemantauan jiran berhampiran.

"Pejabat Agama Daerah sudah memberi kebenaran supaya saya memaklumkan kepada pasangan itu untuk menyerahkan dokumen bagi memudahkan proses pernikahan dijalankan.

"Namun sehingga hari ini, saya tidak menerima apa-apa dokumen daripada mereka dan keduanya dipercayai sudah menghilangkan diri,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut Muhammad Hazamer, tiada sebarang masalah untuk menikahkan pasangan itu, namun dokumen lengkap perlu disediakan sebagai sebahagian daripada prosedur.

Getaran semalam melaporkan, kisah pasangan terbabit berhasil menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaik foto mereka menunggang motosikal bersama anak yang berpenyakit kronik tersebar luas, bantuan daripada pelbagai pihak melimpah ruah dengan sekelip mata.

Bukan sekadar wang ringgit, pasangan berkenaan juga dihadiahkan dengan sebuah kenderaan terpakai yang masih elok keadaannya, supaya tidak lagi ke sana ke mari menunggang motosikal.

Di depan orang ramai, mereka bijak berlakon sebagai suami isteri, menyebabkan Qariah Masjid Al Maarufi dan pihak lain berkaitan dikecam hebat kerana didakwa gagal membantu golongan memerlukan.

Sandiwara Mohd Azlan dan Norhidayah bagaimanapun terbongkar apabila kisah sebenar mereka didedahkan Qariah Masjid Al Maarufi.

Ini adalah kali kedua kisah suami isteri ‘palsu’ itu tular di media.

Pada Jun 2016, media pernah menyiarkan kisah Norhidayah  bersama anak lelaki ketiganya yang ketika itu berusia lapan bulan.

Bayi tersebut mengikut laporan, disahkan menghidap pneumonia, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan asma (lelah). - Getaran, 26 Mei 2024