
TOKYO – Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.1 melanda wilayah Kumamoto, selatan Jepun sehingga menyebabkan kerosakan dan mencederakan puluhan penduduk, lapor portal berita Livemint.
Agensi Metereologi Jepun (JMA) menarik balik amaran tsunami kira-kira dua jam selepas gegaran berlaku.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya merekodkan magnitud gempa bumi berkenaan pada 7.1 sebelum dikemaskini kepada 6.8.
Gegaran yang kuat turut mengakibatkan sebahagian besar tembok batu bersejarah di Istana Kumamoto yang berusia 419 tahun runtuh, sekali gus menghasilkan awan debu yang besar.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata dalam satu kenyataan di platform X, kerajaaN telah menubuhkan pasukan penyelamat untuk mengumpul maklumat, menilai kemungkinan kerosakan dan bersiap sedia untuk usaha menyelamat jika perlu.
Takaichi memberitahu pemberita terdapat laporan mengenai kecederaan dan kerosakan pada jalan raya, jambatan, bangunan serta gangguan bekalan elektrik dan kebakaran, namun butiran lanjut masih tidak jelas.
Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya sentiasa bererhati-hati dengan api dan serpihan kaca.
Sebuah hospital di Yatsushiro memberikan rawatan kepada kira-kira 40 orang yang mengalami kecederaan, manakala sebuah kereta api terbabas dari landasan di stesen Yatsushiro, lapor agensi berita Kyodo.
“Kami meletakkan nyawa orang sebagai keutamaan tertinggi,” kata Takaichi, sambil menggesa penduduk di kawasan yang merasi gegaran kuat untuk berhati-hati dengan kemungkinan gempa susulan. – AGENSI
The post Tembok istana 419 tahun runtuh akibat gempa bumi appeared first on Kosmo Digital.





