Tempah monitor lengkung Samsung paling besar sekarang dan terima hadiah percuma bernilai RM4,999

Digital
9 Sep 2022 • 5:17 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Paparan melengkung biasanya digunakan oleh peminat permainan video, kerana perlu melihat secara dekat tetapi mahu suasana pandangan terbaik. Tentu lebih menarik jika dapat bermain di paparan melengkung seluas 55-inci kan. Anda boleh melakukannya dengan monitor terbaru Samsung ini.

Samsung Malaysia kini telah membuka tempahan awal untuk monitor terbaru mereka, Odyssey Ark 55″. Monitor, ya ia bukannya TV tetapi adalah sebuah monitor. Malah, Samsung menyatakan monitor ini membolehkan pengguna menyelami tiga dunia berbeza: dunia Gaming, dunia Cinematic dan dunia Multi-task.

image is not available

Promosi tempahan awal

Monitor melengkung yang sangat besar ini, Odyssey Ark 55″ akan dijual di Malaysia pada harga RM13,999. Tempahan awalnya dibuka dari 8 hingga 18 September 2022. Sudah pasti, hadiah percuma menanti pembeli yang menempah dalam tempoh ini.

Hadiah yang disediakan adalah projektor Samsung The Freestyle, yang bernilai RM4,999. Selagi stok masih ada. Projektor kompak, cilik dan kecil ini mudah dibawa ke mana-mana. Malah, ia menggunakan punca kuasa USB-C, menjadikannya senang digunakan dan dipasang.

image is not available

Jika berminat untuk menempah, segera ke laman tempahan Samsung Odyssey Ark.

Spesifikasi Samsung Odyssey Ark 55″

Seperti namanya, besar paparan Odyssey Ark ini beruukuran 55-inci. Ia memiliki resolusi Ultra HD 4K (3,840×2,160) dalam nisbah 16:9. Kadar penyegaran pula setinggi 165Hz.

image is not available

Monitor ini memiliki lengkung 1000R dengan lapisan matte. Jadi ia tidak silau atau memantulkan cahaya, memastikan fokus ketiga bermain game tanpa gangguan sampingan.

Jenis paparan Odyssey Ark bukannya OLED, tetapi menggunakan Quantum Mini LED. Ia boleh memberikan warna hitam yang lebih gelap berbanding LED biasa. Ia juga menyokong julat dinamik tinggi, HDR 10+. Kecerahan pula setinggi 600nits dan memiliki masa respon 1ms (GtG) menggunakan AMD FreeSync Premium Pro.

Walaupun ia sangat besar, monitor ini boleh digunakan secara melintang atau menegak (Cockpit Mode). Ia juga memiliki pemegang yang boleh dilaras ketinggian, serta diubah sudut pandang. Mahu pasang di dinding atau pemegang lain juga boleh, kerana ia serasi VESA. Sehingga 4 paparan boleh dilihat serentak secara melintang, atau 3 paparan dalam Cockpit Mode.

Samsung turut menyediakan alat kawalan jauh untuk Odyssey Ark, dipanggil Ark Dial. Alat kawalan ini ada butang dail yang besar, bersama empat butang fizikal di luar dail. Menariknya, ada panel solar di atasnya untuk member tenaga kepada alat kawalan ini. Ia juga boleh dicas melalui USB-C.

image is not available

Samsung menyatakan, pengguna ada pilihan untuk menggunakan saiz skrin berbeza pada Odyssey Ark. Saiz skrin boleh diubah dari 55-inci sehingga 27-inci, serta dalam nisbah 16:9. 21:9 atau 32:9. Semuanya dikawalan dari Ark Dial.

Sistem bunyi juga dilihat agak bagus. Teknologi Sound Dome padanya menggandingkan 6 pembesar suara. Dua speaker di kiri, dua speaker di kanan dan dua lagi bass. Secara keseluruhan, ia menghasilkan bunyi bertenaga 60W. Ia turut menyokong Dolby Atmos untuk bunyi sekeliling yang realistik.

Untuk sambungan, Odyssey Ark memiliki 4 port HDMI, 1 port LAN RJ-45 dan 2 port USB 2.0. Sambungan wayarles pula menyokong WiFi 5 dan Bluetooth 5.2. Warna pula hanya ada satu, iaitu hitam.

View Original Article