
Amalan atau konsep bekerja secara jauh kini semakin diterima ramai. Kalau dahulu anda perlu ‘tunjuk muka’ ke pejabat setiap hari, tapi kini tidak lagi.
Ada banyak syarikat besar yang memberi fleksibiliti kepada pekerja mereka untuk bekerja dari rumah, asalkan tugasan boleh disiapkan mengikut ‘deadline’ yang ditetapkan.
Bagi yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor, kebebasan sebegini memang diidamkan kerana ramai yang tidak sanggup untuk meredah kesesakan trafik pada setiap hari.

Kebiasaannya, ramai yang memilih untuk menyiapkan tugasan di rumah sendiri apabila mendapat kebebasan ini, namun kalau hari-hari buat kerja di rumah, bosan juga. Di situlah tempat anda berehat, di situ jugalah tempat anda bekerja.
Sesekali, mahu juga berubah angin dan buat kerja di luar bukan? Berikut adalah pilihan lokasi untuk berkerja secara jarak jauh yang ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Senarai ini dikongsi oleh Sandbox Space, Sri Petaling.
Sandbox Space, Sri Petaling adalah hab utama untuk mereka yang inginkan persekitaran kerja yang moden dan boleh disesuaikan. Rekaan dalamannya memberi tumpuan pada produktiviti dan keselesaan.

Di sini anda boleh memilih untuk bekerja di ruangan yang boleh diakses boleh sesiapa ataupun memilh ruangan atau pejabat persendirian untuk keselesaan maksimum.
Selain menawarkan perabot yang mesra pengguna, ciri yang menonjol di Sandbox Space ialah studio rakamannya. Ia sesuai untuk podcaster yang mencari peralatan dan akustik gred profesional.

Dengan cawangan tambahan di Bandar Sunway, Sandbox Space menawarkan fasiliti yang sempurna untuk bekerja dan juga berehat. Pendek kata, ini adalah tempatnya untuk penciptaan kandungan berkarya.
Dibuka 24 jam setiap hari, anda boleh ke sini pada bila-bila masa mengikut jadual kerja yang anda selesa.

Alamat: 22-1, Jln Radin Bagus 3, Bandar Baru Sri Petaling, 57000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Harga: Bermula dari RM14 untuk pas sehari.
Terletak di Changkat Bukit Bintang, Feeka Coffee Roasters menawarkan persinggahan yang tenang dari kesibukan Kuala Lumpur. Nama ‘Feeka’ diilhamkan daripada perkataan Sweden, ‘fika’, yang bermaksud ‘berehat’.

Sama ada anda memerlukan tempat yang tenang untuk menumpukan perhatian pada projek anda atau sudut yang selesa untuk mengambil langkah perlahan di tempat kerja, Feeka memenuhi semua keperluan kerja jarak jauh anda.
Sambil menyiapkan tugasan, bolehlah menikmati hidangan manis, seperti mille crepes, pastri, tart dan pai untuk pengalaman lebih menyeronokan. Hati yang gembira pasti membuatkan fikiran lebih terinspirasi.

Feeka menawarkan menu menarik yang merangkumi sarapan, makan tengah hari dan makan malam, menjadikannya tempat yang bagus untuk bekerja sepanjang hari.
Alamat: 19, Jln Mesui, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Harga: Bermula dari RM15 setiap hidangan.
Mencari ruang kerja yang unik? The Rabbit Hole adalah pilihan idea. Tidak jauh dari Feeka, tempat ini berubah dari kafe yang selesa pada siang hari menjadi bar bergaya pada waktu malam, menjadikannya tempat serba boleh untuk nomad digital dan mereka yang ingin bekerja bukan dari rumah atau pejabat.

Pada siang hari, nikmati suasana kafe yang mengalu-alukan dengan hidangan menyelerakan, kopi artisanal dan pastri untuk memastikan anda bersemangat dan kekal fokus. Suasananya sesuai untuk menyiapkan kerja atau mengadakan mesyuarat santai.

Alamat: 16, Changkat Bukit Bintang, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Harga: Bermula dari RM28 setiap hidangan.
Tsutaya Books, Pavilion Bukit Jalil adalah lokasi sempurna untuk menyembunyikan diri daripada gangguan orang ramai. Sebagai sebuah gedung buku, tiada siapa yang dibenarkan membuat bising.

Rak buku dari lantai ke silingnya terdiri daripada lebih 240,000 koleksi yang mewujudkan persekitaran yang memberi inspirasi untuk produktiviti.
Anda boleh membaca sepintas lalu pelbagai genre buku, dan mungkin juga boleh mencari bahan rujukan untuk tugasan anda.
Sebuah kafe turut tersedia di dalam gedung buku ini, di mana ia boleh menempatkan kira-kira 90 pengunjung. Jadi bolehlah buka komputer riba anda di sini sambil menikmati kopi atau teh yang baru dibancuh. Kyoto Matcha dengan kuih Dorayaki atau Fruit Parfait adalah kombinasi yang disarankan.

Alamat: Lot 2.89.00, Aras 2 Zon Jingga, Pavilion Bukit Jalil, Persiaran Jalil Utama, Bandar Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur
Harga: Hidangan kafe bermula dari RM15.
Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam merupakan perpustakaan enam tingkat moden dengan pemandangan taman dan tasik yang menakjubkan.
Perpustakaan ini menawarkan stesen kerja yang luas dan selesa, gim, dan kafeteria terbuka yang tenang dengan pemandangan tasik dan Masjid Biru yang menakjubkan.

Sama ada anda sedang mengusahakan projek, menghadiri mesyuarat maya atau sekadar memerlukan ruangan segar untuk inspirasi, perpustakaan ini menyediakan persekitaran estetik yang diperlukan.
Selain ideal untuk dijadikan tempat bekerja, perpustakaan ini adalah syurga kemudahan moden. Berehat sebentar untuk melawat teater 3D dan 6D mereka, dan lantai bertema mereka seperti 'Outer Space' dan 'Ocean' untuk menyegarkan fikiran.
Pendek kata, perpustakaan ini menjanjikan pengalaman kerja yang unik, mungkin juga menjangkaui ekpektasi anda.
Alamat: Jln Kelab Golf 13/6, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor
Harga: Percuma untuk rakyat Malaysia, namun caj dikenakan untuk masuk ke gim dan beberapa kemudahan lain. - Getaran, 7 Julai 2024

