Tempatkan unit K9 terlatih di lapangan terbang - Juruterbang

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tempatkan unit K9 terlatih di lapangan terbang - Juruterbang
Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol mencadangkan pihak berkaitan menambah baik sistem saringan sedia ada termasuk menempatkan petugas bersama Unit Anjing Pengesan (K9) di lapangan terbang. 

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko objek atau bahan mencurigakan melepasi pemeriksaan keselamatan. 

"Unit K9 ini boleh ditugaskan pada sebelum atau selepas bagasi didaftar masuk.

"Perlu ada seorang petugas untuk memantau pengimbas berikutan mesin tidak boleh bezakan antara pil dan ubat yang mencurigakan.

"Selain itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu menempatkan seorang polis setiap kali memuat dan memunggah kargo pesawat seperti mana yang dilakukan di China," katanya pada Selasa. 

Menurutnya, sistem saringan bagasi diwujudkan bagi memastikan keselamatan penerbangan dengan mengesan bahan letupan, senjata atau barangan berbahaya. 

"Selain itu, ia membantu mencegah penyeludupan dadah, barangan kontraband dan mata wang yang menyalahi undang-undang. 

"Pemeriksaan itu juga memainkan peranan dalam aspek kesihatan dan biosekuriti termasuk mengesan tumbuhan, haiwan atau produk makanan yang dilarang dibawa masuk ke sesebuah negara," katanya lagi. 

Pada Jumaat, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa menyeludup 25 kilogram dadah. 

Menurut bekas Jurulatih Penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, berdasarkan rakaman video yang tular, timbul persoalan bagaimana sebuah bagasi yang telah didaftarkan masuk boleh melepasi sistem saringan keselamatan. 

"Memang tidak dapat kesan kerana berdasarkan video terkini, beg itu telah didaftarkan masuk di kaunter daftar masuk. Isunya sekarang bagaimana beg bagasi yang telah didaftar masuk di luar semasa mendaftar di kaunter boleh melepasi sistem saringan. 

"Biasanya semua bagasi yang didaftar masuk akan diimbas oleh pihak keselamatan lapangan terbang sebelum dimasukkan ke dalam kargo pesawat," ujarnya. 

Jelas Mohd Ezairol, setiap bagasi yang didaftarkan akan melalui proses pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X di bahagian belakang kaunter daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam ruang kargo pesawat. 

"Bagasi juga akan diperiksa secara fizikal. Beg akan dibuka secara manual sekiranya imbasan sinar-X menunjukkan objek mencurigakan. 

"Selain itu, penggunaan anjing pengesan terlatih kadangkala digunakan untuk menghidu dadah, produk pertanian atau bahan letupan," katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved