SHAH ALAM, 4 NOV: Orang ramai berpeluang menemui serta beramah mesra dengan barisan sasterawan negara (SN) sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang bermula 27 November ini.
Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata pihaknya menyediakan ruang khas Pavilion Selangor untuk tokoh itu menganjurkan aktiviti bersama pengunjung.
“Ini antara tarikan baharu. Dalam masa sama kita teruskan acara Hati dan Minda Sasterawan untuk SN mengupas dan berkongsi sebarang isu,” kata Zafrullah Aris kepada Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pesta kali ini turut menawar hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 kepada pemenang pertandingan Sekolahku Hebat.
Jelasnya, pemenang akan dipilih berdasarkan kehadiran tertinggi pelajar sekolah yang mendaftar dalam pertandingan berkenaan.
“Setiap murid yang hadir akan mendapat e-sijil kehadiran di SIBF 2024. Selain wang tunai lumayan, sekolah juga akan membawa pulang televisyen 65 inci,” katanya.

Tahun ini, pesta buku yang berlangsung bawah Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor diadakan dari 27 November hingga 3 Disember di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam.
SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjur Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS, melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.
SIBF 2023 merekodkan kehadiran lebih 250,000 orang daripada pelbagai lapisan usia sepanjang 10 hari penganjuran yang bermula 1 Disember di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13.
The post Temui sasterawan negara di pesta buku Selangor hujung bulan ini appeared first on Selangorkini.

