Tenang Tapi Tangkas, Pasangan Doktor Malaysia Selamatkan Penumpang Dalam Pesawat

LocalHealth & Fitness
13 May 2026 • 7:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tenang Tapi Tangkas, Pasangan Doktor Malaysia Selamatkan Penumpang Dalam Pesawat

KUALA LUMPUR - Sepasang doktor dari Malaysia menerima pujian, selepas bertindak pantas  menyelamatkan seorang penumpang yang mengalami kejutan alahan serius.

Insiden terbabit berlaku ketika kesemua mereka dalam penerbangan Singapore Airlines dari Christchurch ke Singapura baru-baru ini.

Kecekapan pasangan berkenaan mengendalikan situasi mencemaskan itu bukan sahaja berjaya menstabilkan keadaan mangsa, malah mengelakkan pesawat daripada melakukan pendaratan kecemasan.

Dr Wu Jin Feng dan isterinya, Dr Tan Pei Jun, masing-masing berusia 34 tahun, pantas memberi respon sejurus pengumuman dibuat kru kabin sekitar jam 1.30 tengah hari waktu New Zealand, meminta bantuan jika ada petugas kesihatan menaiki pesawat berkenaan. 

Tanpa berlengah, mereka segera tampil memberikan bantuan.

“Ketika kami tiba, dia baru mula sedarkan diri,” kata Dr Wu.

Menurut beliau, isteri mangsa memaklumkan suaminya pengsan selama kira-kira dua minit sebelum bantuan diberikan.

Hasil pemeriksaan mendapati, pesakit berada dalam tahap kritikal apabila kadar denyutan jantungnya menurun kepada hanya 38 denyutan seminit, manakala paras oksigen dalam badan berada pada tahap 88 peratus.

Mangsa turut mengalami bengkak pada bibir dan lidah selain ruam kemerahan pada badan, dipercayai berpunca daripada reaksi alahan yang teruk.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila dia disahkan mempunyai sejarah strok dan penyakit jantung, selain beberapa peralatan perubatan dalam pesawat dilaporkan tidak berfungsi dengan sempurna.

“Kami terlebih dahulu memberikan terapi oksigen dan cecair intravena, namun tanda vitalnya masih tidak stabil.

“Kadar denyutan jantungnya kekal sekitar 55 hingga 60 denyutan seminit, manakala paras oksigen hanya antara 88 hingga 92 peratus. Kami bimbang dia boleh mengalami kejutan sekali lagi,” katanya dalam wawancara bersama Lianhe Zaobao.

Menurut Dr Wu, keadaan mangsa hanya berjaya distabilkan selepas suntikan adrenalin diberikan.

Sepanjang baki penerbangan, Dr Wu dan Dr Tan terus memantau keadaan penumpang itu sambil berhubung dengan pasukan perubatan di darat sehingga pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Sebaik tiba, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar sepenuhnya serta tidak lagi memerlukan bantuan oksigen atau sokongan intravena, sebelum dia diserahkan kepada petugas perubatan lapangan terbang untuk pemerhatian lanjut.

Dr Wu mendedahkan, bahawa ini merupakan kali ketiga beliau mengendalikan kecemasan semasa menaiki penerbangan dalam tempoh 45 hari.

Sebelum ini, beliau pernah mengendalikan kecemasan membabitkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul pada awal April lalu serta penerbangan dari Auckland ke Queenstown pada Mei.

Bagaimanapun, beliau mengakui kes kejutan alahan tersebut merupakan situasi paling kritikal pernah dihadapinya setakat ini.

Dr Wu, bekas doktor Hospital Pulau Pinang kini berkhidmat dalam sektor swasta, manakala Dr Tan pula sedang menjalani latihan pakar di Hospital Bahagia Ulu Kinta selepas menamatkan peperiksaan psikiatri di United Kingdom.

Menurut Dr Wu, mereka hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang doktor.

“Dalam penerbangan, apa sahaja kecemasan boleh berlaku tanpa diduga.

“Apa yang penting ialah kekal tenang dan bertindak pantas,” katanya. - Getaran, 13 Mei 2026

View Original Article