
MELAKA: Tender terbuka bagi pelantikan kontraktor penyelamat ketiga untuk menyiapkan sebahagian pembangunan Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua di bawah pakej satu, dijangka dibuka pada Mac ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (gambar) berkata projek berbaki kira-kira 20 peratus yang terbengkalai hampir dua tahun itu, melibatkan 17 komponen pembangunan dan peruntukan pelaksanaan baki projek itu ialah dari Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Kontraktor yang berminat diberi masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan dokumen tender berkenaan dan baki kerja-kerja yang masih terbengkalai itu perlu disiapkan dengan nilai siling projek RM30 juta.
“Kerja-kerja menyiapkan baki projek itu perlu disiapkan dalam tempoh 18 bulan daripada tarikh serah tapak kepada kontraktor terlibat dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2025,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di tapak projek berkenaan di sini hari ini.
Bagaimanapun Sulaiman berkata kontraktor penyelamat baharu bagi projek itu, diharap dapat menyiapkan beberapa komponen pembangunan yang terbengkalai lebih awal, iaitu pada tahun hadapan memandangkan 2024 merupkan Tahun Melawat Melaka.
Beliau berkata kontraktor asal dan dua kontraktor penyelamat bagi projek itu, ditamatkan khidmat mereka kerana gagal menyiapkan projek tersebut dalam masa ditetapkan selain disebabkan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
Sementara itu, Sulaiman berkata terdapat kerosakan kepada beberapa infrastruktur di bawah pakej dua dan tiga projek itu yang telah diserahkan secara berperingkat sebelum ini, dan kerja-kerja penambahbaikan perlu dilakukan segera.
“Saya dimaklumkan peruntukan untuk membaiki semula kerosakan yang berlaku di bawah pakej dua dan tiga telah ada, dan tender pelantikan kontraktor akan dibuat selepas pembentangan bajet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka fasa dua yang terbahagi kepada tiga pakej, dilancarkan pada 2012 bernilai RM350 juta membabitkan kerja di sepanjang kawasan 5.2 kilometer, bermula dari Jabatan Hang Jebat hingga pintu kawalan pasang surut Batu Hampar di sini. -Bernama
