Tender terbaharu Gamuda di Singapura perkukuh segmen hartanah rentas sempadan, kata penganalisis

30/09/2025 - 11:59
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 30 Sept – Kejayaan Gamuda Berhad mengetuai konsortium pembangunan bercampur terkini di Singapura memperkukuh kedudukan syarikat dalam segmen hartanah rentas sempadan.
Penganalisis berpendapat, dengan bidaan yang mencecah S$1.01 bilion (kira-kira RM3.33 bilion), ia menguatkan lagi strategi projek pusingan pantas (QTP) kumpulan tersebut di peringkat serantau.
Kemenangan ini menjadi mercu usaha Gamuda dalam mempelbagaikan portfolio hartanah di luar negara, setelah kejayaan projek Gem Residences dan OLA di Singapura, serta rangkaian QTP di Vietnam.
Dua firma penyelidikan utama, memberikan penilaian positif terhadap langkah strategik ini dengan MBSB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM6.35 sesaham.
"Kami menyifatkan kemenangan tender ini sebagai pencapaian penting dalam strategi QTP syarikat yang menumpukan pembangunan berimpak tinggi dalam jangka masa singkat," katanya dalam satu nota.
Tanah seluas 29,450.3 meter persegi itu bakal dibangunkan sebagai projek bercampur yang merangkumi 875 unit kediaman dan ruang komersial, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.9 bilion.
Kata MBSB Research, lokasinya strategik hanya 5 minit berjalan kaki berbumbung ke Stesen MRT Khatib, berhampiran terminal bas, menjadikan projek ini aset premium pasaran hartanah Singapura.
Ia melihat kejayaan itu sebagai lanjutan pengukuhan Gamuda dalam sektor utiliti serta keupayaannya mengekalkan buku tempahan tertinggi iaitu RM35.8 bilion, menjadikannya pilihan sektor pembinaan.
Sementara itu, CGS International (CGSI) pula menyatakan pemerolehan projek kali ini menandakan usaha Gamuda untuk mengimbangi kebergantungan yang tinggi terhadap pasaran hartanah Vietnam.
"Negara itu kini menyumbang hampir 28% daripada keseluruhan GDV hartanahnya, dan kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan menetapkan TP sebanyak RM7.30 sesaham," kata firma penyelidikan tersebut.
Situasi berkenaan jelasnya, berdasarkan andaian nilai pasaran kepada buku tempahan sebanyak satu kali dengan pelaburan ini juga tidak akan memberi kesan langsung kepada kunci kira-kira Gamuda.
Menurut CGSI, walaupun bidaan Gamuda lebih tinggi berbanding dua pesaing lain, justifikasi kukuh diberi berdasarkan potensi pasaran, lokasi yang matang dan permintaan kukuh di kawasan tersebut.
Bagaimanapun tambahnya, Gamuda dijangka hanya melancarkan projek ini pada 2027, dengan tempoh pembangunan selama 84 bulan manakala unjuran margin keuntungan pula kira-kira dua angka rendah.
Projek itu diuruskan melalui syarikat usaha sama seperti dua projek terdahulu di Singapura dan perolehan akan diiktiraf secara progresif kerana ia merupakan pembangunan kediaman swasta.
Secara keseluruhan, kejayaan terbaharu Gamuda bukan sekadar penambahan projek, tetapi mencerminkan keupayaan kumpulan menempatkan diri sebagai pemain hartanah serantau agresif dan berdaya saing.
Dengan strategi QTP semakin mantap di Malaysia, Vietnam dan kini Singapura, Gamuda berada di landasan kukuh mencapai sasaran RM10 bilion hasil segmen hartanah menjelang FY28. - DagangNews.com
standard


