
KAJANG – Tindakan seorang wanita berhenti seketika untuk menjawab panggilan telefon bertukar mimpi ngeri apabila dua lelaki meragut gelang emas dipakainya di depan rumahnya di Taman Cheras Perdana, Batu 9 Cheras, di sini, Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 49 tahun leka menjawab panggilan sebelum didatangi dua suspek menaiki motosikal Yamaha Y15ZR.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, seorang daripada suspek telah turun dari motosikal dan cuba menarik beg tangan mangsa.
Katanya, selepas gagal mendapatkan beg tangan mangsa, suspek bertindak meragut seutas gelang emas yang dipakai pada pergelangan tangan kiri mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.44 petang Ahad dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati pergerakan kedua-dua suspek telah dirakam.
Katanya, kedua-dua suspek memakai topi keledar dengan visor gelap, manakala nombor pendaftaran motosikal yang digunakan tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.
“Usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Aidhil Othman di talian 019-371 3937 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Tengah jawab telefon, gelang kena ragut appeared first on Kosmo Digital.

