Tengku Amalin A-Ishah Putri terima anugerah tokoh alumni Naim Lilbanat 2026

25 Mar 2026 • 9:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A-Ishah Putri dianugerahkan tokoh Alumni Naim Lilbanat 2026 sempena Sambutan 85 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat pada Selasa. Foto: ADEQJIEY PHOTOGRAPHY

KOTA BHARU - Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A-Ishah Putri dianugerahkan tokoh Alumni Naim Lilbanat 2026 sempena Sambutan 85 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat pada Selasa.

Tengku Maharani yang merupakan alumni sekolah berkenaan menjadi penerima pertama anugerah berkenaan sepanjang 85 tahun penubuhan pusat pendidikan berkenaan.

Pengerusi Alumni Naim Lilbanat, Majdah Muhamad berkata, pemilihan Tengku Amalin dibuat berdasarkan pencapaian serta sumbangannya yang memberi inspirasi kepada seluruh warga sekolah dan alumni.

“Sejak penubuhan alumni, kita tidak pernah memperkenalkan anugerah tokoh.

"Tahun ini menjadi detik bersejarah apabila ia julung kali diadakan dan Tengku Amalin dipilih sebagai penerima pertama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Alumni yang diadakan di Dewan Haji Yaacob, di sini pada malam Selasa.

Hadir sama, Penasihat Pertubuhan Alumni Naim Lilbanat yang juga Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad dan Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid.

Menurut Majdah, makan malam yang julung kali diadakan itu turut menyaksikan perhimpunan besar alumni melibatkan kira-kira 550 bekas pelajar bermula dari tahun 1982 hingga 2016.

Ujarnya, kehadiran alumni pelbagai generasi itu bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah menjadi platform menghargai jasa serta kejayaan bekas pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah.

Majdah memberitahu, penganugerahan kepada Tengku Maharani itu dilihat mampu menyuntik semangat kepada pelajar semasa untuk terus mencipta kecemerlangan, sekali gus meneruskan legasi kegemilangan SMKA Naim Lilbanat diperingkat negeri dan kebangsaan dalam dunia pendidikan.

Majlis berkenaan turut diisi dengan pelbagai acara menarik termasuklah persembahan dari kumpulan nasyid terkenal tanah air iaitu In-Team.

View Original Article