Tengku Mahkota saran UMK, kerajaan negeri dan swasta bangunkan Kelantan

4 Nov 2023 • 8:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak swasta bagi membangunkan negeri itu.

Pro Canselor UMK Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra bertitah ini kerana universiti itu memiliki kepakaran, pihak kerajaan negeri mempunyai sumber manakala pihak swasta boleh menyediakan dana pelaburan.

“Sekiranya ketiga-tiga pihak berupaya memaksimumkan potensi kerjasama berpasukan maka ia dapat memberi manfaat yang signifikan kepada kesejahteraan rakyat jelata.

“Beta menyarankan agar semua pihak saling menabur bakti kepada Kelantan melalui UMK, misalnya para diaspora Kelantan yang berjaya dalam pelbagai bidang boleh menjadikan agenda wakaf dan endowmen sebagai wadah menyumbang semula kepada masyarakat menerusi pembangunan infrastruktur universiti,“ titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen ke-13 UMK di sini hari ini.

Tengku Muhammad Faiz Petra juga bertitah penggunaan sumber sedia ada seperti tanah perlu dioptimumkan termasuk membangunkan lokasi yang sesuai di universiti itu sebagai hab perniagaan kerana ia bukan sahaja akan menyumbang kepada penjanaan pendapatan malah membantu menyerlahkan keterlibatan UMK sebagai universiti keusahawanan terbilang.

“Hal ini secara tidak langsung turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat dan negeri Kelantan,“ titah baginda.

Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Razli Che Razak pula berkata universiti itu mencatatkan kebolehpasaran graduan sebanyak 92.5 peratus setakat Februari 2023 mengatasi sasaran 91 peratus yang ditetapkan pada tahun ini.

Beliau berkata data usahawan graduan pula ialah 10.9 peratus, mengatasi sasaran 10 peratus yang ditetapkan.

“Hal ini menunjukkan bahawa UMK berada pada landasan yang jelas serta tepat dalam usaha mencapai misi sebagai Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN pada 2026 dan Asia pada 2030,“ katanya.

Istiadat konvokesyen itu meraikan sejumlah 2,839 graduan yang bakal menerima ijazah masing-masing iaitu 25 orang bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah, 75 bagi pengajian di peringkat Sarjana dan 2,739 bagi pengajian di peringkat Sarjana Muda.-Bernama