Tengku Permaisuri sertai 10,000 wanita Selangor berselawat

22 Aug 2026 • 11:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tengku Permaisuri sertai 10,000 wanita Selangor berselawat

SHAH ALAM, 22 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz kira-kira jam 9.15 malam disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad, EXCO Pembangunan Wanita, Anfaal Saari serta Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.

Program anjuran WBS itu turut menampilkan alunan selawat yang dipimpin Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut dan disusuli tazkirah bertajuk Meneladani Akhlak Rasulullah SAW: Inspirasi Buat Wanita Beriman oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 10,000 wanita itu turut menjadi wadah mempererat ukhuwah dan kebersamaan masyarakat menerusi pengisian kerohanian serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Penganjuran program berkenaan turut memberi peluang kepada wanita Selangor untuk bersama-sama menghayati nilai kasih sayang, perpaduan dan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW.

Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat merupakan antara program yang dianjurkan sebagai usaha memperkukuh penghayatan Islam serta menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul dalam kalangan masyarakat khususnya wanita di negeri ini.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini diraikan pada 25 Ogos, sebagai kesempatan umat Islam memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW serta meneladani akhlak dan ajaran baginda dalam kehidupan seharian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved