Tengku Zafrul belum hantar permohonan, PKR ambil kira pandangan rakan Kerajaan Perpaduan: Fuziah

LocalPolitics
31 May 2025 • 10:14 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – PKR belum menerima sebarang permohonan keanggotaan rasmi daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata, semua permohonan masuk PKR dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian . 

“Permohonan akan melalui ‘proses biasa’, dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP). 

“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan serta pendapat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menghantar surat peletakan jawatan dalam Umno untuk menyertai PKR. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno sudah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti. 

Beliau juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh. 

"Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya sudah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Presiden sendiri. 

"Saya sudah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak 1997 lagi. 

"Akhirnya, keputusan ini dibuat selepas bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian," katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Susulan itu Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno setakat ini belum menerima secara rasmi surat peletakan jawatan Zafrul. - 31 Mei, 2025