Tengku Zafrul letak semua jawatan dalam UMNO, mohon sertai PKR

LocalPolitics
30 May 2025 • 9:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

image is not available

Selepas lebih dua dekad bersama UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atau Tengku Zafrul akhirnya mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

image is not available

Tengku Zafrul dah hantar surat rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial hari ini, beliau memaklumkan telah menghantar surat rasmi kepada pucuk pimpinan UMNO bagi meletakkan semua jawatannya termasuk sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari YAB Presiden sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya.

image is not available

Tengku Zafrul ambil keputusan selepas bermuhasabah

Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas bermuhasabah dan mengambil kira kesesuaian hala tuju politiknya kini.

“Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” tambahnya lagi.

image is not available

Beliau turut mengesahkan sudah menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada pucuk pimpinan parti tersebut.

“Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat kepada Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

image is not available

Menutup kenyataan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersamanya sepanjang berada dalam UMNO dan menyifatkan sokongan itu sebagai sesuatu yang tidak akan dilupakan.

Beliau turut mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan sepanjang aktif di dalam UMNO.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul