
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan tindakannya mempersoalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) adalah betul.
Malah Rafizi berkata, bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tergesa-gesa dalam merundingkan perjanjian tersebut selain tidak menjawab beberapa perkara dan menuduhnya memutarkan fakta.
Jelas Rafizi, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif timbal balas, sebahagian besarnya dikenakan secara unilateral oleh Trump kepada negara-negara lain tetapi mahkamah itu tidak membatalkan perjanjian yang telah dimeterai.
“Jadi betul lah bila saya persoalkan apa jalan yang terbaik sekarang. Kalau kata perjanjian itu diperlukan untuk dapatkan tarif yang lebih rendah, itu dah tidak terpakai sebab tarif kepada semua negara adalah 15%, lebih rendah dari 19%.
“Lebih teruk, kita terikat dengan segala macam syarat yang menjejaskan kedaulatan negara kita, sedangkan negara lain tidak perlu patuh kepada apa-apa syarat.
“Jalan yang terbaik adalah untuk kita tidak mengesahkan perjanjian ini dan supaya ia terbatal begitu sahaja.
“Sebab itu saya kata Zafrul tergesa-gesa merundingkan perjanjian ini, cuma dia bernasib baik sebab Azam Baki (Tan Sri) suka dekat dia. Kalau tak, dia pun kena siasat SPRM juga sebab runding perjanjian secara tergesa-gesa,’’ katanya menerusi hantaran dan klip video di Facebooknya.
Tengku Zafrul yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sebelum ini mempertahankan keputusan Malaysia untuk memeterai perjanjian ART dengan Amerika Syarikat.
Tindakan itu disifatkan sebagai langkah berjaga-jaga dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.
Beliau turut menegur Rafizi supaya tidak memutar belit fakta berkenaan Perjanjian ART.
“Tarif 19% yang dikenakan ke atas negara masih memerlukan tindakan awal bagi mengelakkan kos tinggi dalam perdagangan global. Bila Mahkamah Agung Amerika Syarikat dah batalkan tarif, maknanya tarif 19% yang kena kat Malaysia pun dah tak jadilah,” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, ketika kerajaan menunggu maklumat lanjut daripada Washington, ini adalah peluang bagi Malaysia untuk kita tidak meneruskan perjanjian ini.
“Sementara kita masih dalam proses ratifikasi iaitu pengesahan komitmen, lebih baik kita menghentikan proses ratifikasi agar ia terbatal begitu sahaja,’’ katanya. - 25 Februari, 2026
The post Tengku Zafrul tergesa-gesa runding perjanjian ART: Rafizi appeared first on Scoop.

