
NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang merancang bercuti dan melancong ke negara ini diminta berwaspada susulan pengumuman hujan lebat dan banjir kilat diramal berlaku di 10 wilayah di Selatan Thai sehingga Selasa ini.
Jurucakap Pusat Meteorologi Pantai Timur Thailand berkata, wilayah Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat antara diramal terjejas.
“Palung monsun telah beralih ke selatan melintasi wilayah timur dan selatan atas manakala Monsun Barat Daya yang sederhana meliputi Laut Andaman, Selatan Thai dan Teluk Thailand.
“Ini akan mengakibatkan hujan lebat hingga sangat lebat di beberapa kawasan. Pusat Meteorologi menggesa orang ramai bersiap sedia menghadapi banjir kilat dan tanah runtuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jurucakap itu berkata, hujan renyai dan sangat lebat mula berlaku sejak akhir bulan lalu menyebabkan jumlah taburan hujan meningkat serta kenaikan paras air di sungai-sungai utama dan cawangannya.
Katanya, pejabat gabenor Wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat mengarahkan agensi bantuan bencana supaya bersiap sedia dengan jentera berat, pam air, bot dan pasukan tindak balas pantas bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada orang ramai sekiranya berlaku kecemasan atau banjir.
“Penduduk dan pelancong ke Hat Yai di Wilayah Songkhla pula diminta sentiasa berwaspada serta memantau berita dengan teliti memandangkan kejadian banjir besar pernah berlaku kurang daripada setahun yang lalu.
“Banjir besar yang berlaku dalam tempoh tiga hari di wilayah terbabit bermula 27 November tahun lalu menjejaskan kira-kira 2.8 juta penduduk dan mengorbankan 169 nyawa,” ujarnya.
Pada 27 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan, rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Selatan Thai termasuk Hat Yai dalam tempoh tiga bulan akan datang dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti laporan cuaca bagi mengelak terkandas akibat banjir. – UTUSAN
The post Tengkujuh: Rakyat Malaysia perlu waspada jika melancong ke Selatan Thai appeared first on Utusan Malaysia.






