Tentera Israel Akan Menguasai Kota Gaza – Netanyahu

WorldPolitics
8 Aug 2025 • 11:32 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kabinet keselamatan Israel telah meluluskan rancangan yang dicadangkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi membolehkan tentera ‘menguasai’ Kota Gaza, menurut kenyataan pejabatnya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, di bawah rancangan untuk mengalahkan Hamas di Semenanjung Gaza, tentera Israel akan bersedia untuk mengawal Kota Gaza sambil mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam di luar zon pertempuran, lapor AFP.

Kabinet keselamatan dengan undi majoriti mengguna pakai lima prinsip untuk mengakhiri perang iaitu melucutkan senjata Hamas, mengembalikan semua tebusan sama ada hidup atau telah meninggal dunia, demilitarisasi Semenanjung Gaza, kawalan keselamatan Israel di Semenanjung Gaza dan penubuhan pentadbiran awam alternatif yang bukan Hamas mahupun Pihak Berkuasa Palestin..

Ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet keselamatan pada Khamis, Netanyahu berkata Israel merancang untuk mengambil alih sepenuhnya kawalan Gaza tetapi tidak berniat untuk mentadbirnya.

Netanyahu berkata Israel mahukan satu ‘zon keselamatan’ dan menyerahkan wilayah Palestin itu kepada kuasa Arab yang akan mentadbirnya dengan baik tanpa mengancam mereka.

Rancangan itu mendapat kritikan daripada Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang menyifatkannya sebagai salah dan hanya akan membawa lebih banyak pertumpahan darah.

“Tindakan ini tidak akan membantu menamatkan konflik atau membantu mendapatkan pembebasan tebusan,” kata Starmer.

Sementara itu, Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, turut berkata rancangan Israel itu mesti dihentikan segera.

Tentera Israel bulan lalu berkata mereka telah menguasai 75 peratus Semenanjung Gaza, terutamanya dari kedudukan mereka di sepanjang sempadan wilayah itu.

Hampir dua tahun selepas serangan di Gaza bermula, Netanyahu berdepan tekanan yang semakin meningkat di dalam dan luar negara supaya memeterai perjanjian gencatan senjata, bagi mengelakkan lebih dua juta penduduk Palestin daripada terus berada di ambang kebuluran serta menyelamatkan tebusan yang ditahan di Palestin.

Di Gaza, penduduk berkata mereka bimbang perkara paling buruk akan berlaku ketika bersiap sedia menghadapi serangan seterusnya.

“Mereka suruh kami pergi ke selatan, kemudian balik ke utara dan kini mahu hantar kami ke selatan semula. Kami manusia, tapi tiada siapa yang mendengar atau melihat kami,” kata Maysa al-Shanti, 52 tahun, ibu kepada enam anak.

Sumber: AFP