
Tentera Israel meletupkan kediaman milik seorang lelaki Palestin, Farouk Ramadan, di bandar Tal berhampiran Nablus, kurang daripada tiga minggu selepas beliau terbunuh dalam pertempuran dengan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Menurut sumber tempatan, Farouk merupakan antara empat rakyat Palestin yang terkorban dalam insiden serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram di bandar Tal pada akhir Julai lalu. Beliau yang pada asalnya tidak bersenjata dilapor merampas senjata daripada seorang peneroka haram ketika berhadapan dengan serangan berkenaan, sebelum melepaskan tembakan yang mengorbankan dua orang.
Saksi dan wartawan tempatan melaporkan bahawa pasukan tentera Israel menyerbu kawasan berkenaan serta memaksa penduduk di rumah berdekatan berpindah terlebih dahulu sebelum meletupkan tingkat tiga bangunan kediaman milik keluarga Farouk.
Dalam kejadian berasingan di utara Tebing Barat, tentera Israel turut memulakan operasi merobohkan kira-kira 20 premis kedai dan kediaman milik warga Palestin di kampung Anza, yang terletak di selatan Jenin.
Aktivis tempatan, Tayseer Sadaqa, memaksa bahawa jentera berat tentera Israel menyerbu jalan utama kampung itu dan memusnahkan deretan premis perniagaan atas alasan binaan dijalankan “tanpa permit”.
Pihak berkuasa dan sumber Palestin memberi amaran bahawa tindakan pemusnahan kediaman dan premis ini, bersama-sama perluasan penempatan haram, merupakan strategi berterusan Israel untuk mengukuhkan penguasaan ke atas Tebing Barat sekali gus menjejaskan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Sejak Oktober 2023, serangan dan pencerobohan tentera Israel serta peneroka haram di Tebing Barat telah mengorbankan lebih 1,183 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 13,000 orang, dan menyebabkan hampir 25,000 lagi ditahan.
Sumber: Anadolu Agency (AA) / TRT World (Israel blows up Palestinian home weeks after his killing in occupied West Bank)





