Tentera negara ASEAN bergabung jayakan Eksesais Asean Solidarity in Natuna

20 Sep 2023 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tentera negara ASEAN bergabung jayakan Eksesais Asean Solidarity in Natuna

zakisalleh

20/09/2023 - 14:46

KUALA LUMPUR 20 Sept - Buat pertama kalinya, tentera negara ASEAN bergabung dalam latihan maritim yang diberi nama Eksesais Asean Solidarity in Natuna (ASEX-01 N) 2023 di Batam, Indonesia.

Eksesais yang dianjurkan Tentara Nasional Indonesia (TNI) ini merupakan latihan bersama yang baharu dicadangkan oleh Panglima TNI, Laksamana Yudo Margono sewaktu ASEAN Chief of Defence Forces Meeting (ACDFM) ke-20 pada 7 Jun lalu di Bali.

Ia berlangsung mulai 18 hingga 25 September 2023 dan dilaksanakan di Batam, Perairan Natuna dan Sabang Mawang, Indonesia.

Antara negara yang menghantar aset dalam eksesais ini ialah Singapura dengan penglibatan korvet RSS Vigour, Brunei (KDB Darul Ehsan) dan Malaysia (kapal peronda KD Terengganu).

image is not available
Laksamana TNI, Yuno Margono (tengah) bersama Abdul Rahman (kiri) dan lain-lain wakil tentera negara ASEAN semasa pembukaan eksesais.

TNI pula mengerahkan dua kapal perangnya, iaitu KRI dr. Radjiman Wedyodiningrat dan KRI Jhon Lie.

Negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam dan Timor Leste bertindak sebagai pemerhati.

Ini merupakan latihan bukan ketenteraan pertama yang melibatkan seluruh angkatan bersenjata dari negara ASEAN.

Ia memberi fokus dalam memperkasakan aspek latihan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) dan operasi keselamatan maritim.

image is not available
Sebahagian daripada kapal perang negara ASEAN yang terlibat dalam eksesais bersama.

KD Terengganu telah diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kdr Hafiez Azrie Md Noor bersama 10 pegawai dan 70 kru.

Eksesais ini merupakan peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama pegawai dan anggota KD Terengganu dalam memperkasakan aspek latihan HADR.

Aspek lain ialah dalam kerjasama awam dan tentera, operasi mencari dan menyelamat, serta keselamatan maritim yang merupakan konsep utama pelaksanaan eksesais ini.

Pada masa yang sama, pelaksanaan eksesais ini dapat meningkatkan hubungan ketenteraan antara negara-negara ASEAN di samping menggalakkan penglibatan dan kesepaduan dengan objektif yang digariskan.

image is not available
Abdul Rahman bersama sebahagian daripada kru KD Terengganu yang mewakili Malaysia dalam latihan julung-julung kali menggabungkan tentera negara ASEAN.

Ini juga untuk mempraktikkan prosedur operasi standard antara tentera negara ASEAN, membina kerjasama dan kebolehoperasian dalam bidang keselamatan maritim dan pengurusan bencana.

Terdahulu, majlis perasmian Eksesais Asean Solidarity in Natuna (ASEX-01 N) Panglima TNI, Laksamana TNI Yudo Margono dan turut dihadiri Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bAb Rahman. - DagangNews.com