Teo: Industri media perlu manfaatkan teknologi AI dalam libat urus dengan masyarakat

5 Mar 2024 • 8:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Industri media perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membangunkan penyelesaian digital inovatif yang bersesuaian untuk melibatkan masyarakat dalam landskap digital yang semakin berkembang, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (gambar).

Berucap pada ABU Digital Broadcasting Symposium (DBS) 2024 di sini hari ini, beliau berkongsi perkembangan menarik dalam kementeriannya, terutama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah memanfaatkan kuasa AI dalam sistem arkibnya.

Dikenali sebagai Sistem Arkib Digital Berita (ADIB), katanya ia telah membolehkan RTM memenangi pelbagai anugerah antarabangsa berikutan keberkesanan penggunaannya.

Selain itu, Teo berkata avatar juga telah digunakan sebagai hos bagi menyampaikan sorotan program di empat saluran TV RTM, menggunakan penggerak imej dan bank suara AI.

“Sehubungan itu kami membayangkan penggunaan AI yang lebih meluas di RTM, menjadikan operasinya lebih lancar dan efisien untuk para penyiar kami. Ia merupakan langkah ke masa depan media yang mengujakan apabila teknologi bergerak seiring dengan misi kecemerlangan kami,” katanya.

Bagi memastikan industri profesional bersedia dengan anjakan teknologi ini, menurut beliau Kementerian Komunikasi melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) telah menawarkan pelbagai kursus untuk memperkasakan pengamal media dengan kemahiran penting AI.

Antara kursus ditawarkan berkaitan trend AI ialah Sistem Operasi Realiti Maya (VR) atau TV Studio Realiti Terimbuh (AR) dan Teknologi AI bagi Reka Bentuk TV.

“Lebih banyak kursus termasuk Sistem Produksi Jarak Jauh MOJO (kewartawanan mudah alih), dijadual dimulakan tahun ini sekali gus mengukuhkan komitmen kementerian untuk menjadikan AI diakses oleh khalayak lebih luas melangkaui pemain industri,“ katanya.

Bertemakan “Navigating AI Horizon”, Teo berkata simposium itu menjadi detik penting ketika industri media menjelajah ke wilayah yang belum dipetakan dalam era digital.

Memandangkan kepesatan inovasi AI membawa pelbagai pertimbangan berkaitan etika, sosial dan kawal selia, Teo mengingatkan pemain industri agar melangkah dengan lebih berhati-hati dengan mengambil kira cabaran dan kerumitan yang bakal dihadapi.

Beliau berkata isu seperti bias algoritma, kerahsiaan data dan impak sosial dipacu AI memerlukan refleksi yang bernas dan langkah proaktif untuk memastikan teknologi AI dibangunkan serta digunakan dalam cara yang beretika, telus dan saksama. -Bernama