
Seorang peminat kumpulan rock terkenal My Chemical Romance, Pan Ruichen mendakwa berdepan pengalaman mengecewakan apabila tiket konsert yang dibelinya menerusi satu platform jualan tiket dipercayai telah diimbas sebelum dia tiba di lokasi acara.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di platform Douyin dan dikongsikan semula oleh pengguna X, @aaa2bdn, Ruichen menceritakan bahawa dia sanggup terbang bersendirian dari Beijing, China ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan persembahan kumpulan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Lebih menyedihkan, Ruichen berkata bahawa dia membatalkan pekerjaannya demi menghadiri konsert berkenaan kerana itulah satu-satunya peluang percutian yang dimilikinya pada tahun ini.
Ruichen telah membayar lebih daripada RM2,490 (termasuk caj perkhidmatan) hampir setahun yang lalu demi menghadiri konsert artis kegemarannya.
Pengalaman yang diharapkan menjadi kenangan manis itu bertukar mengecewakan apabila dia mendakwa tidak dapat memasuki stadium menggunakan kod QR tiket yang dibelinya.
Dakwa tiket konsert MCR sudah diimbas
Ruichen berkata dia tiba di stadium sekitar jam 6.30 petang sebelum dimaklumkan bahawa kod QR tiketnya telah pun diimbas pada jam 3.22 petang, iaitu lebih tiga jam sebelum ketibaannya.
Baca juga:
Laku Keras, 100,000 Tiket Konsert MCR Habis Dijual
Lelaki Minta Idea Nama Anak Ada Bunyi Jepun-Kelantan, Terhibur Bila Baca Cadangan Netizen
Gaya Dah Macam CEO, Abang-Abang Ni Buat ‘Kerja Gila’ Siap Pakai Sut Turun Memancing
Lebih mengecewakan, dia turut berkata bahawa dirinya berdepan kesukaran mendapatkan bantuan daripada platform yang menjual tiket tersebut.
Menurutnya, khidmat pelanggan platform berkenaan meminta bukti bergambar melalui aplikasi, namun fungsi memuat naik gambar dalam aplikasi tersebut tidak berfungsi seperti yang diperlukan.
Pengguna X turut menggesa platform tiket mengambil tanggungjawab dan memulangkan wang yang telah dibayarnya.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan setakat ini berdasarkan perkongsian di media sosial itu sahaja. Tiada pengesahan atau maklum balas rasmi daripada platform tiket berhubung insiden berkenaan.


