Terbukti projek MyKiosk tiada rasuah, Menteri KPKT gesa penfitnah mohon maaf

LocalPolitics
22 Jul 2025 • 3:41 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menuntut permohonan maaf daripada pihak yang sebelum ini menabur fitnah terhadap pelaksanaan projek MyKiosk oleh kementeriannya.

image is not available

Projek MyKiosk disahkan tiada sebarang unsur rasuah

Ia susulan kenyataan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tiada sebarang unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam siasatan berhubung tender pembinaan projek berkenaan.

Memetik laporan daripada Malaysiakini, Nga Kor Ming menuntut penfitnah untuk membuat permohonan maaf kepada warga KPKT susulan tuduhan yang tidak munasabah terbabit.

“Alhamdulillah, minggu lepas SPRM dah keluarkan kenyataan bahawa tiada salah guna kuasa, tidak ada elemen rasuah.
“Maka, siapa yang baling batu jangan simpan tangan.
“Saya menuntut bagi pihak warga KPKT yang bekerja bertungkus lumus membantu rakyat, mereka yang membuat tohmahan fitnah sila mohon maaf,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

image is not available

Respon soalan dibangkitkan mengenai projek MyKiosk

Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada soalan Onn Abu Bakar (PH–Batu Pahat) yang membangkitkan persoalan mengenai pelaksanaan MyKiosk 2.0.

image is not available

KPKT sendiri pelawa SPRM jalankan siasatan

Dalam pada masa yang sama, Nga turut menjelaskan bahawa sejak awal lagi, KPKT sendiri yang mempelawa SPRM untuk menjalankan siasatan secara terbuka bagi menjaga integriti penjawat awam.

“Dulu ada pelbagai dakwaan menyatakan bahawa projek ini projek gajah putih sebagainya dan oleh kerana itu KPKT mengambil inisiatif sendiri menyerahkan, mempelawa SPRM untuk menyiasat.
“SPRM tak datang, tapi kami (KPKT) pergi ke SPRM dan bagi semua dokumen yang diperlukan.
“Kerana kita rasa penjawat awam yang berbakti, berjasa dan berkorban, pengorbanan mereka wajib dihargai dan bukannya dilempar pelbagai tuduhan tidak berasas,” katanya.

image is not available

Artikel lain: Dakwaan rasuah, penyelewengan? SPRM siasat tender projek MyKiosk

Menurut Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan siasatan terhadap projek MyKiosk hanya melibatkan aspek tadbir urus dan tiada elemen jenayah dikesan setakat ini.

Dengan penjelasan dan pengesahan SPRM itu, Nga berharap segala tohmahan terhadap projek tersebut dihentikan dan semua pihak kembali memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.

Walau bagaimanapun, Nga mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan namun menegaskan penambahbaikan sedang dijalankan, termasuk penggunaan sistem penilaian prestasi berasaskan indikator seperti “lampu isyarat”.

Sumber: Facebook Nga Kor Ming, Malaysiakini