Tercalon Dalam ABPBH 35, Sophia Albarakbah Yakin Peminat Pilih Sebab Bakat Bukan Kontroversi

Entertainment
16 May 2023 • 12:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sophia Albarakbah - Gambar Instagram

Pelakon jelita dan sensasi, Sophia Albarakbah telah berjaya  tercalon dalam tiga kategori utama di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-35. 

Nama Sophia ‘sangkut’ dalam Top 20 bagi kategori BBNU Wanita Popular, Aktres TV Popular dan Aktres Filem Popular. Namanya juga tercalon untuk kategori Couple Drama Popular bersama Datuk Aaron Aziz.

Biarpun awal tahun ini nama Sophia terpalit dengan kontroversi apabila dia didakwa  telah mengganggu rumah tangga pasangan artis popular, namun dia percaya peminat masih lagi melihat dan menilai bakatnya.

“Saya tak sangka saya akan tercalon tetapi Alhamdulillah nama saya ada dalam senarai pencalonan, jadi saya sangat gembira. Saya tidak letakkan harapan yang tinggi untuk menang. Tetapi jika orang di luar sana rasa saya layak untuk menang, undilah saya.

“Alhamdulillah sebab peminat kenal saya dengan  bakat bukan sekadar kontroversi. Saya gembira apabila bakat saya dihargai peminat. 

“Ada kontroversi atau tiada, saya percaya sebagai artis, pastinya seseorang itu akan ada peminatnya yang tersendiri,” katanya ketika ditemui di sidang media ABPBH35. 

Tambah pelakon 'Suamiku Lelaki Pendosa' ini, dia bersyukur kerana mempunyai peminat yang sangat menyokong kerjaya seninya tanpa bertanya tentang kontroversi yang melanda. 

“Selepas semua yang berlaku, saya masih punya peminat yang sentiasa menyokong saya. Ada yang telah meminati saya sejak hari pertama, ada peminat-peminat yang baru juga. 

“Tetapi semua mereka lebih gemar bercakap tentang cita-cita saya. Tak ada yang bercakap pasal kontroversi,” ujarnya. 

Beralih ke soal kerjaya seni, Sophia bakal ke Jepun tidak lama lagi untuk menjalani penggambaran drama terbaru terbitan Viu Malaysia.  – Getaran, 16 Mei 2023