
Kubur di Tanah Perkuburan Muara Lebaan, Bintangor diceroboh
Terdesak Nak Dapatkan Barang Berharga, 79 Kubur Di Bintangor Kena Ceroboh. Dipetik dari berita tempatan, kira-kira 79 buah kubur di Tanah Perkuburan Muara Lebaan, Bintangor dilaporkan telah diceroboh.
Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Sekam Anoi, pihak polis telah menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan pada 12 April, jam 12.33 tengah hari.

Kubur telah dirosakkan
Dalam laporan yang diterima, pengadu mengetahui berkaitan pencerobohan tersebut daripada satu hantaran individu melalui aplikasi media Facebook.
Oleh itu, hasil siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Meradong mendapati sekitar 79 buah kubur di lokasi terbabit telah dirosakkan dengan cara memecahkan simen serta mengorek lubang sehingga menampakkan keranda.
Pengadu turut berkata, kali terakhir dirinya bersama penduduk kampung melawat tapak perkuburan tersebut ialah pada 30 Mac yang lalu.

Polis alu-alukan maklumat dari orang awam
Tambah Ketua Polis Meradong, pihak polis amat mengalu-alukan maklumat orang awam untuk membantu dalam kes pencerobohan ini.
Beliau berkata, maklumat awam ini amat penting bagi membantu pihak polis dalam mencegah aktiviti yang tidak bermoral ini agar ia tidak berlaku dan berulang kembali.
Motif pencerobohan kubur tersebut dikatakan dipercayai bagi mendapatkan barang kemas dan barang-barang berharga yang dikuburkan bersama si mati.
Sebarang maklumat dan aduan boleh diajukan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di talian 084-693222, ujar beliau.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan (pencerobohan kubur).
