Terengganu bakal tubuhkan entiti petroleum sendiri dengan kerjasama firma minyak Oman

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2025 • 6:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu bakal tubuhkan entiti petroleum sendiri dengan kerjasama firma minyak Oman

image is not available

17/04/2025 - 18:20

KUALA TERENGGANU 17 April - Kerajaan Terengganu bakal menubuhkan entiti petroleum miliknya sendiri menerusi kerjasama strategik dengan sebuah syarikat minyak dan gas dari Oman.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dua medan minyak telah dikenal pasti bersama rakan strategik luar negara dan rundingan awal bersama Petronas sedang berjalan untuk pengambilalihan operasi.

"Kita sudah mengenal pasti syarikat dari Oman sebagai rakan kongsi strategik dalam aktiviti pengeluaran minyak dan gas ini.

"Perbincangan awal telah dimulakan dengan Petronas untuk dua lapangan minyak yang dikenal pasti," katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Wisma Darul Iman, hari ini.

image is not available

Menurutnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh Terengganu Inc bagi melengkapkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dalam keseluruhan rantaian nilai industri petroleum, merangkumi aktiviti hiliran, pertengahan dan perkhidmatan huluan.

"Kita kini dalam proses mengembangkan aktiviti ke segmen huluan bagi melengkapkan keseluruhan portfolio petroleum, termasuk hiliran, pertengahan dan perkhidmatan huluan. Ini perkara baharu yang tiada sebelum tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan ‘Terengganu Petroleum’ akan menjadi landasan baharu untuk hasil jangka pertengahan negeri dan bakal muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kluster minyak dan gas GLC Terengganu.

"Kita sasarkan entiti petroleum ini sebagai pemacu utama hasil negeri dalam tempoh pertengahan. Ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada royalti semata-mata,” katanya. - DagangNews.com

standard