KUALA NERUS – Kerajaan Terengganu masih dalam proses menilai keperluan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) melibatkan penjawat awam di negeri itu susulan situasi ekonomi semasa.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penilaian terperinci perlu dilakukan memandangkan faktor persekitaran di negeri tersebut jauh berbeza berbanding di Lembah Klang.
Menurut beliau, antara faktor utama yang diambil kira termasuk isu kesesakan jalan raya yang secara tidak langsung memberi kesan kepada penggunaan bahan api petrol.
"Kita masih lagi menilai mana-mana yang ada keperluan sebab suasana di Lembah Klang tidak sama dengan suasana di negeri Terengganu.
"Kebanyakan masa di Lembah Klang itu dihabiskan di atas jalan raya, berjam-jam dengan jem dan sebagainya.
"Itu memberi kesan kepada penggunaan bahan api petrol yang agak kritikal dalam waktu akan datang ini," katanya ketika ditemui selepas perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, di sini pada Sabtu.
Mengulas mengenai kemungkinan pelaksanaan BDR di peringkat negeri, beliau berkata, meskipun situasi kesesakan tersebut tidak begitu ketara di Terengganu, pihaknya tetap akan meneliti sekiranya wujud keperluan untuk melaksanakan BDR.
"Suasana itu tidak begitu berlaku di negeri Terengganu, tapi kita akan menilai dan kita akan tengok jika ada keperluan 'work from home' .
"Kita sedang menilai, belum buat keputusan peringkat mesyuarat lagi buat masa ini," jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan mengenai penyertaan dalam mesyuarat khas yang dipanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kedudukan ekonomi semasa serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam menangani tekanan ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini.
"Kita juga mengambil langkah-langkah di pihak negeri yang saya tidak akan perincikan pada hari ini. Kita masih lagi menilai tentang kesan yang paling besar kepada pihak kerajaan negeri.
"Tentunya kita akan menggembleng dengan semua pihak termasuk swasta dan Persekutuan untuk bekerjasama supaya kesan tekanan ekonomi kepada rakyat dapat diminimumkan," katanya.
