Terengganu buktikan model pelancongan mesra Muslim jadi rebutan - Exco

LocalTravel
3 May 2026 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Terengganu buktikan model pelancongan mesra Muslim jadi rebutan - Exco
Razali

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperincikan kejayaan model pelancongan patuh syariah di negeri itu bagi memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang menyifatkan garis panduan moral sebagai penghalang kemasukan pelancong ke negara ini.

​Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kenyataan yang mengaitkan ketiadaan festival hiburan bebas dengan kemerosotan pelancong adalah satu naratif yang kurang tepat dan tersasar daripada fakta.

​Menurut beliau, trend pelancongan global kini sudah beralih kepada segmen yang lebih khusus termasuk pelancongan mesra Muslim yang kini berkembang pesat.

​"Terengganu adalah bukti jelas bahawa pendekatan patuh syariah bukan penghalang, sebaliknya ia adalah pemangkin unik yang menarik minat orang luar.

​"Data tidak menipu. Pada tahun 2024 sahaja, kita sudah melepasi sasaran dengan kehadiran 7.8 juta pelawat. Malah bagi tiga bulan pertama tahun 2026, trend terus mencanak naik mencecah 2.45 juta pelawat," katanya menerusi kenyataan di media sosialnya pada Ahad.

​Razali menjelaskan, dakwaan bahawa pelancong hanya akan datang jika ada hiburan bebas adalah satu simplifikasi yang tidak melihat kepada kekuatan aset semula jadi dan budaya.

​Beliau turut memberi contoh penganjuran Kapas Marang Swimathon yang tetap mendapat penyertaan luar negara yang tinggi walaupun mengekalkan garis panduan pakaian sopan.

​"Fokus pelancong hari ini adalah pengalaman, cabaran dan alam semula jadi. Kita ada Tasik Kenyir, gugusan pulau bertaraf dunia seperti Redang dan Perhentian, serta keunikan budaya seperti Karnival Candat Sotong.

​"Semua ini inklusif. Walaupun kita tekankan ciri mesra Muslim, namun pintu kita sentiasa terbuka luas buat pelancong bukan Islam untuk menikmati keindahan negeri ini," tambahnya lagi.

​Mengulas mengenai perbandingan dengan situasi di Langkawi, Razali menyarankan agar isu tersebut dilihat dari sudut kos dan akses, bukannya diletakkan di bahu faktor dasar moral semata-mata.

​Dalam nada berseloroh beliau turut mempelawa Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk merasai sendiri pengalaman bercuti di negeri itu.

​"Sila 'Mak Cik' Teresa Kok 'maghi' (datang) Terengganu cuti 3 hari 2 malam. InsyaALLAH, anda sendiri akan tertarik melihat kemurnian Islam dan keindahan budaya yang kita tawarkan di sini," katanya.

​Terdahulu, Teresa dilaporkan meminta pihak yang membantah penganjuran festival muzik jalanan agar tampil dengan cadangan alternatif yang lebih membina bagi merangsang ekonomi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, Pas dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh antara pihak yang lantang membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival selama tiga hari di Bukit Bintang yang berakhir malam tadi.

 

 

View Original Article