liza13/10/2026 - 14:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 13 Okt – Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Masavan Logistics (M) Sdn Bhd merancang meneroka pembangunan hab logistik bersepadu seluas 468.15 hektar (1,156.74 ekar) di Mukim Binjai, Kemaman bagi mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai pintu masuk perdagangan Pantai Timur.
Kedua-dua Syarikat itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan yang dikenali sebagai The Chukai Smart Logistic Eco Hub yang berpusat di sekitar Stesen Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) Chukai.
Pembangunan itu dirancang untuk menghubungkan rangkaian kereta api, pelabuhan, kawasan perindustrian, perdagangan dan komuniti dalam satu ekosistem logistik bersepadu.
Lokasinya yang berhampiran stesen ECRL Chukai dan Pelabuhan Kemaman turut membuka potensi untuk memperluas hubungan perdagangan Terengganu dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
Hubungkan ECRL dengan Pelabuhan Kemaman
Hab berkenaan dirancang untuk memanfaatkan potensi pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Chukai yang akan meningkatkan peranan Kemaman sebagai pusat logistik dan perdagangan di Pantai Timur.
Kedudukan strategik itu berpotensi menghubungkan pengangkutan barangan melalui rangkaian kereta api dan pelabuhan, selain menyokong aktiviti perindustrian serta perdagangan di kawasan berkenaan.
Terengganu Inc dalam satu kenyataan memaklumkan pembangunan itu juga membuka peluang memperluas hubungan perdagangan dengan pasaran utama seperti Thailand, Laos dan China, sebelum dihubungkan ke laluan perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan nilai pelaburan, kos pembangunan, jadual pembinaan atau tarikh projek dijangka siap.
Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman serta Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Rosli Latif.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Masavan Logistics (M) Sdn Bhd, Tan Keng Choon dan Pengarah Projek syarikat itu, Tee Chee Seng, bersama pengurusan kanan kedua-dua syarikat.
Buka peluang kepada syarikat tempatan
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata kerjasama itu mencerminkan visi bersama untuk membentuk masa depan ekonomi negeri menerusi pembangunan strategik berkenaan.
Beliau berkata, projek itu perlu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Terengganu, khususnya kontraktor, pembekal, usahawan dan golongan muda tempatan.
Menurutnya, Terengganu Inc mahu memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membantu perniagaan tempatan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi yang bakal diwujudkan.
"Pembangunan itu berpotensi menyumbang kepada transformasi Kemaman dan pertumbuhan ekonomi Terengganu pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com


