Terengganu sasar 9 juta pengunjung pada 2026, perkenal slogan pelancongan baharu

LocalTravel
30 Dec 2025 • 12:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu sasar 9 juta pengunjung pada 2026, perkenal slogan pelancongan baharu image is not available liza30/12/2025 - 12:52 Pulau Redang - Gambar Discovery Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 30 Dis  – Negeri Terengganu terus memperkukuh sektor pelancongan dengan menetapkan sasaran 9 juta pelawat bagi tahun 2026, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta memperkenalkan slogan pelancongan baharu “TRUE Terengganu – The Real Unique Experience”.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu Datuk Razali Idris berkata pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu berikutan pencapaian cemerlang pada sepanjang tahun ini hasil promosi pelbagai produk pelancongan di semua lapan daerah.

 

“Sehingga Oktober 2025, Terengganu mencatatkan kedatangan sehingga 8.5 juta pengunjung, mencerminkan keyakinan pelancong terhadap produk, perkhidmatan dan keindahan alam semulahadi yang ditawarkan negeri ini.

 

“Bagi memastikan pertumbuhan pelancongan yang seimbang sepanjang tahun, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah melancarkan Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan 2026 yang merangkumi 13 acara utama (signature events) dan lebih 100 acara sampingan. 

 

“Kalendar ini berfungsi sebagai alat perancangan strategik bagi membuka peluang ekonomi lebih luas kepada komuniti setempat hasil penganjurannya nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

 

image is not available

 

ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu capai sasaran 8.5 juta pengunjung, RM6.7 bilion sumbangan ekonomi pada 2025

 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri memperkenalkan slogan baharu iaitu “TRUE Terengganu – The Real Unique Experience”, bertujuan menonjolkan keaslian budaya, keunikan alam serta pengalaman sebenar yang boleh dinikmati pelawat.

 

“Pendekatan ini akan diterjemahkan dalam keseluruhan ekosistem pelancongan negeri, termasuk penginapan, produk tempatan, acara kebudayaan, perkhidmatan digital, serta penglibatan anak muda dan penggiat industri kreatif.

 

“Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar kempen bermusim, sebaliknya ia adalah platform penyelarasan nasional yang membolehkan produk pelancongan, komuniti tempatan dan pemain industri bergerak secara tersusun, berfokus dan berimpak tinggi.

 

“Tahun Melawat Terengganu 2027 pula dijadikan kesinambungan strategik bagi memastikan impak pelancongan yang berterusan,” katanya.

 

Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk pengusaha pelancongan, komuniti kreatif, jabatan kerajaan, NGO dan media agar berganding bahu mempromosikan kempen ini demi manfaat ekonomi, kelestarian alam sekitar dan pemerkasaan komuniti tempatan. - DagangNews.com

Terkini standard