KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kakitangan awam dalam membuat persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi.
Menurutnya, pemberian itu juga merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen yang diberikan semua penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Bantuan khas ini sudah disalurkan hari ini (Khamis) dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua penjawat awam negeri dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri," katanya.
**media[3461655]**
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Iftar Perdana Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu Kebangsaan (Permata) anjuran Yayasan Terengganu di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri menggunakan dana awam tahun ini.
Jelas beliau, pihaknya menyambut baik saranan tersebut dan mengesahkan perkara yang sama akan dilaksanakan di peringkat negeri.
"Apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri adalah berkaitan penggunaan dana awam untuk menganjurkan majlis sambutan Hari Raya. Namun, jika ia diadakan secara potluck, bagi saya tiada halangan.
"Bagaimanapun, saya menyambut baik pandangan Perdana Menteri dan di peringkat negeri juga kita membuat keputusan untuk tidak mengadakan Rumah Terbuka Menteri Besar pada tahun ini," katanya lagi.
