
KUALA LUMPUR - Penyertaan Peguam Negara sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menimbulkan kebimbangan yang mendalam.
Justeru, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyarankan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat dakwaan serius membabitkan Azam Baki.
Ini kerana, kata Kok, Tengku Maimun diakui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai mempunyai kelayakan yang cemerlang, integriti yang tidak diragui, serta rekod kebebasan yang terbukti.
Malah, katanya, penglibatan beliau akan serta-merta meningkatkan kredibiliti, keyakinan awam, dan legitimasi proses siasatan.

“Dari segi substansi dan struktur, jawatankuasa khas yang ditubuhkan ini amat menyerupai pasukan petugas pelbagai agensi yang dibentuk pada tahun 2015 bagi menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pasukan petugas terdahulu itu turut melibatkan Peguam Negara sebagai salah seorang anggota utama dan hasil daripada pengaturan tersebut kini sudah diketahui umum.
“Pasukan petugas berkenaan dilihat secara meluas sebagai tidak berkesan dan akhirnya menjadi kegagalan besar, runtuh dalam kontroversi, campur tangan institusi, serta kehilangan keyakinan awam,’’ katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mencadangkan supaya keanggotaan jawatankuasa itu diperluaskan kepada lima orang dengan melibatkan seorang hakim bersara serta wakil masyarakat sivil.
“Saya mencadangkan seorang hakim bersara, dan saya ingin mencadangkan Tengku Maimun Tuan Mat, serta seorang tokoh masyarakat sivil yang dihormati,” katanya.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jawatankuasa Khas Siasatan itu sudah memulakan siasatan dan sebagai langkah permulaan, pihaknya sudah mengumpul maklumat mengenai isu berhubung pemilikan saham Azam Baki.
Mengulas lanjut, Teresa berkata, keyakinan awam terhadap mana-mana siasatan berkaitan dakwaan salah laku yang serius bergantung bukan sahaja kepada kebebasan sebenar, tetapi juga kepada persepsi kebebasan tersebut.
Sesebuah jawatankuasa, katanya, tidak dapat memperoleh legitimasi jika anggotanya dilihat mempunyai kaitan institusi dengan sistem yang sedang disiasat.
“Pengajaran daripada pasukan petugas 1MDB adalah jelas, badan penyiasat yang ditugaskan untuk meneliti perkara berkepentingan nasional mesti terdiri daripada individu yang bebas dan dilihat bebas.
“Jawatankuasa semasa, dalam bentuknya sekarang, berisiko mengulangi kelemahan struktur yang sama seperti pasukan petugas terdahulu dan hal ini amat membimbangkan memandangkan keseriusan dakwaan yang terlibat serta implikasinya terhadap kepercayaan awam terhadap institusi tadbir urus,’’ katanya.
Menurut Teresa, dalam perkara yang begitu penting kepada negara, keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi juga mesti jelas dan nyata dilihat dilaksanakan tanpa sebarang keraguan. - 15 Februari, 2026
The post Teresa Kok cadang Tun Maimun ketuai jawatankuasa bebas siasat isu pemilikan saham Azam Baki appeared first on Scoop.
