Terfikir Nama ‘Bayi Tabung Uji’ Bagi Projek Baharu, Namun Ditukar Kerana Bimbang Pandangan Buruk Orang Lain - Loque

Music
16 Jun 2023 • 4:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Loque kembali dengan projek band kolaborasi terbaharu dikenali sebagai Gostan. - Gambar Instagram Loque

Penyanyi dan komposer, Loque pernah terfikir untuk menamakan 'Bayi Tabung Uji' sebagai projek band kolaborasinya bersama penyanyi, Asmidar sebelum akhirnya dikenali sebagai Gostan.

Menurut Loque, idea nama band ‘Bayi Tabung Uji’ itu muncul secara spontan di dalam benak fikirannya, namun dia telah  dinasihati rakan pemuzik lain supaya menukarnya kerana dianggap kurang sesuai serta mempu mencetuskan persepsi buruk orang lain.

image is not available
Loque - Gambar Instagram Loque

“Bagi saya, nama ‘Bayi Tabung Uji’ itu sesuatu yang unik dan menarik. Tetapi, rakan pemuzik lain seperti  Loko dan Bakri mengingatkan saya ia tidak sesuai  apatah lagi dengan kehadiran Asmidar yang turut bekerjasama dengan kami ini.

“Lagipun, dalam dunia media sosial masa kini, pandangan dan penerimaan setiap orang berbeza. Pada kita, mungkin biasa saja dan tidak membawa maksud yang jauh kerana perjuangannya pada karya seni. Tapi  bagi orang lain, kita tidak tahu mereka fikirkan apa pula ,” katanya kepada Getaran.

Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar berkata, menerusi projek band kolaborasi 'Gostan' yang dianggotai Loko, Bakri Ismail, Memey dan Harry Misteri itu, mereka bakal muncul mempertaruhkan lagu ‘Dia Datang’ nyanyian asal Raja Gambus iaitu Allahyarham Fadzil Ahmad.  

image is not available
Gambar Instagram Monoloque

Tambah Loque, bersama 'Gostan' dan juga penyanyi Asmidar, mereka akan  tampil dengan lagu ‘Tak Seindah Wajah’ yang pernah dirakamkan penyanyi asalnya, Allahyarham Tan Sri SM Salim yang mendapat sambutan baik pendengar.

Menurut Loque yang juga pemain gitar Butterfingers, hasil daripada maklum balas yang diterima daripada pendengar, mereka mahu kerjasama ini diteruskan. 

“Saya memang berpuas hati bekerja dengan Asmidar yang sememangnya memiliki vokal lunak dalam menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu.

“Malah, kami mempunyai perancangan untuk menerbitkan banyak lagi album digital bersama Gostan sekiranya ada rezeki,” ujarnya.

Jelas Loque lagi, buat masa ini kalau diikutkan Gostan sudah merakam semula empat lagu tradisional Melayu yang diberi nafas baharu. – Getaran, 16 Jun 2023

View Original Article