“Tergamak menipu saudara seagama..”- Sultan Selangor dukacita kes tipu pakej haji meningkat

LocalPolitics
7 Jun 2025 • 12:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di negara ini.

Menerusi hantaran di laman media sosial rasmi Selangor Royal Official hari ini, baginda turut menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan menipu umat Islam.

“Lebih menyedihkan beta, apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah baginda.

image is not available

Sultan Selangor dukacita kes tipu pakej haji meningkat

Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam agar sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dilakukan melalui ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengutus ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah kepada seluruh umat Islam, khususnya di Selangor.

image is not available

Baginda berdua berharap agar umat Islam mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala dan melaksanakan ibadah korban demi membantu golongan miskin serta menginsafi nasib mereka yang lebih daif.

“Beta turut mendoakan agar jemaah Haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan Haji yang mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat,” titah baginda.