Terima Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang, Mior kini usahawan perabot

11 Jun 2024 • 10:28 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Mior (tengah) bergambar bersama ibunya (kanan) dan adiknya.

Selain cemerlang dalam pembelajaran sepanjang pengajian Diploma Teknousahawan Reka Bentuk dan Pengeluaran Perabot di Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar, Kedah, Mior Khumaini Khuzaid turut berjaya menjadi seorang usahawan perabot dengan perniagaannya mencecah jualan RM100,000.

Menerusi kejayaan jualan yang berjaya mencapai sasaran melebihi RM50,000 itu juga telah mengangkat Mior sebagai penerima Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang (AKU) dalam Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 pada Isnin.

Mior ketika ditemui Sinar Bestari berkata, dia tidak pernah terfikir untuk terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan lebih-lebih lagi usahawan perabot memandangkan dia bukan berasal daripada keluarga yang berniaga.

Namun, ia tidak menjadi satu alasan malah dia tetap mencuba untuk meneruskan perniagaannya itu ketika masih bergelar pelajar di IKM apatah lagi jurusan yang dipilihnya memerlukan dia untuk mengerjakan sesuatu perniagaan.

“Alhamdulillah, dari zaman belajar lagi saya sudah didedahkan dengan selok-belok perniagaan terutamanya dalam bidang usahawan perabot.

“Disebabkan itu juga, saya bangunkan syarikat saya sendiri bernama STYLUXFURNITURE di Sungai Petani, Kedah yang memfokuskan barangan perabot dibuat khas mengikut permintaan pelanggan seperti almari, kabinet dapur dan lain-lain lagi,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, perniagaannya sudah memasuki tahun ketiga berada di pasaran dan semakin dikenali di sekitar kawasan utara Malaysia seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Justeru, dia berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu ke seluruh negara dan menjadi salah seorang usahawan perabot yang berjaya.

“Syarikat saya ini bertapak di Sungai Petani dan kebanyakan pelanggan juga datangnya daripada sekitar utara Malaysia.

“Insha-ALLAH, sasaran saya untuk lima tahun akan datang agar dapat memperluaskan lagi perniagaan ini dengan menakluki seluruh Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibunya, Sharifah Asniza Ismail menyatakan rasa bangga dan kagum dengan pencapaian anaknya dalam bidang perniagaan atas usaha gigih bermula daripada bawah.

“Alhamdulillah, Mior memang seorang anak yang baik dan saya sebagai ibu amat bangga dengan pencapaiannya.

“Sebab dia berjaya sehingga ke tahap ini atas usaha sendiri yang boleh saya katakan dari kosong sampailah dia berjaya hasilkan satu bahan yang berguna daripada sekeping kayu,” katanya.

Tambah Sharifah, dia juga tidak menyangka anaknya itu akan terlibat secara serius dalam bidang perniagaan memandangkan keluarganya bukan berlatarbelakangkan keluarga yang berniaga.