
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Bagi kebanyakan ibu bapa, anak merupakan segala-galanya dalam kehidupan.
Oleh kerana itu, tidak hairanlah ada yang sanggup berkorban masa dan wang ringgit asalkan keperluan dan kemahuan anak dapat dipenuhi.
Namun, ada segelintir ibu bapa akan ‘melepaskan’ tanggungjawab sebaik sahaja anak mereka memasuki alam perkahwinan dan mempunyai kehidupan sendiri.
Pun begitu, ada juga yang akan mengambil alih semula tanggungjawab menjaga anak khususnya anak perempuan apabila mereka dilanda kesusahan.
Bapa Ambil Tanggungjawab, Jaga Anak & Cucu Selepas Pemergian Menantu
Itulah yang dilakukan oleh seorang bapa terhadap anak perempuan dan cucunya.
Menerusi satu hantaran di Threads, seorang pengguna yang dikenali sebagai Fatin menzahirkan penghargaan kepada bapanya yang mengambil alih tugas arwah suami.
Kongsi Fatin, sebaik pemergian suami tercinta, bapanya yang berusia 75 tahun itu merupakan insan yang banyak membantu dalam menjaga dia dan anak-anak.
“Abah ambil tanggungjawab mengganti semua tugas arwah suami dulu.
“Kalau boleh semua benda dia nak tolong sampai kadang-kadang kita tak nak bagitahu dia, tak nak susahkan dia. Umur dah mencecah 75 tahun tapi masih kuat dan gagah.
“Terima kasih abah sentiasa ada dan setia menjaga saya yang dah besar panjang ini. Inilah insan yang bergelar ‘ayah’. Insan yang paling saya sayang,” tulis Fatin.
Kongsi Fatin di ruangan komen, keluarga suaminya turut ada membantu dan menolong dia sekeluarga.
View on Threads
Wanita Jadi Pencari Nafkah Utama Selepas Pemergian Suami
Memetik mStar, suami Fatin pergi meninggalkan dia sekeluarga secara mengejut pada 22 Mei tahun lalu.
Selepas kehilangan suami tercinta, Fatin kembali tinggal bersama ibu bapanya di ibu kota.
Kini, dia bekerja di sebuah syarikat swasta dan menjadi pencari nafkah utama buat anak-anaknya yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.
“Ayah saya dah pencen jadi memang kerja dia hantar dan ambil cucu dari sekolah je sejak arwah (suami) tiada menggunakan motosikal.
“Suami saya meninggal dunia secara mengejut. Semasa hari kejadian, dia pergi kerja macam biasa, sihat walafiat. Tiba-tiba dia tumbang dekat tempat kerja dan terus meninggal.
“Saya agak terkejut dengan pemergian suami dan satu berita sedih untuk kami sekeluarga. Buat masa sekarang, saya bertungkus lumus mencari nafkah menyara anak dan ibu bapa,” kongsinya.
Bapa Bantu Ringankan Beban, Tak Pernah Merungut Jalankan Tanggungjawab
Kongsi Fatin lagi, bapanya yang merupakan bekas pemandu teksi tidak pernah merungut dalam membantu meringankan bebannya dan anak-anak.
Malah, perkongsiannya di Threads itu adalah sebagai penghargaan terhadap insan yang banyak berkorban serta menjadi tulang belakang sepanjang setahun lebih dia menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.
“Ayah sangat membantu meringankan beban yang saya pikul terutama dalam pengurusan anak-anak.
“Lepas hantar anak ke sekolah, dia juga hantar saya ke stesen keretapi untuk pergi kerja.
“Kalau cuaca hujan, dia tak pernah merungut untuk hantarkan. Saya buat posting penghargaan tu sebab saya sedih walaupun ayah dah tua tetapi tetap kuat nak bagi pertolongan.
“Saya tak mampu nak balas jasa dia yang terlampau banyak dalam menjaga saya dan keluarga.
“Patutnya umur macam dia tu dah kena berehat sahaja di rumah,” jelas Fatin lagi.
Baca Artikel Berkaitan: “Besar Pengorbanan Bapa” – Ramai Sebak Lihat Lelaki Ini Penuhi Permintaan Anak Mahu Guna iPhone [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Awak Bertuah,” – Ramai Tersentuh Lihat Pengorbanan Bapa OKU Sanggup Guna Baju Lindung Anak Dalam Hujan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Auto Menitik Air Mata” – Pengorbanan Bapa Kayuh Basikal Hantar Anak Ke Sekolah Undang Sebak [Video]

