
"Terima Kasih" Selat Hormuz Dibuka Tapi Ini Yang Trump Balas
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyambut baik pengumuman Iran bahawa Selat Hormuz kini dibuka sepenuhnya untuk laluan perdagangan antarabangsa, lapor AFP.
Trump dalam kenyataan di laman Truth Social miliknya menyifatkan pembukaan laluan berkenaan sebagai perkembangan positif dalam mengembalikan kestabilan global.
"Iran telah mengumumkan bahawa Selat Hormuz telah dibuka sepenuhnya untuk perdagangan. Terima Kasih!," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan AS sekatan negara itu ke atas pelabuhan Iran akan kekal berkuat kuasa sehingga rundingan damai selesai.
"Namun sekatan tentera laut akan terus dikuatkuasakan khusus terhadap Iran sehingga urusan Amerika Syarikat dengan Iran selesai sepenuhnya.
"Proses ini dijangka diselesaikan segera kerana kebanyakan perkara telah dirundingkan,” kata Trump menerusi satu hantaran di platform media sosial, pada Jumaat.

Pada Jumaat semalam, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengumumkan bahawa ia membuka semula laluan perdagangan penting Selat Hormuz kepada kargo komersial selepas hampir tujuh minggu ditutup, lapor BBC.
"Selaras dengan gencatan senjata di Lubnan, laluan bagi semua kapal komersial melalui Selat Hormuz diisytiharkan dibuka sepenuhnya bagi tempoh baki gencatan senjata, mengikut laluan yang diselaraskan seperti yang telah diumumkan oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Republik Islam Iran," katanya dalam hantaran di platform X.
Jelasnya lagi, perkara itu adalah selaras dengan gencatan senjata di Lubnan.
Penutupan selat oleh tentera Iran telah menyebabkan beratus-ratus kapal terperangkap di Teluk dan melonjakkan kos penghantaran barangan.

