Terima Kasih ‘Uncle’ Abdullah…

LocalPolitics
15 Apr 2025 • 3:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Koleksi Peribadi Penulis

Semalam, Malaysia kehilangan seorang tokoh yang tidak ternilai - seorang pemimpin yang penuh adab, berjiwa tenang, dan berprinsip teguh. 

Pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar satu kehilangan peribadi buat yang mengenali, tetapi sebuah kehilangan besar buat bangsa dan negara. 

Tidak keterlaluan jika dikatakan, rantau ini jarang sekali dianugerahkan seorang pemimpin sepertinya.

Pak Lah bukan seorang yang mendambakan puji-pujian. Beliau tidak bersuara lantang, tidak bergaya megah dengan persaliban mewah. Tetapi di sebalik kelembutan bicaranya, tersembunyi kekuatan luar biasa. 

Dalam diamnya, beliau membawa perubahan. Dalam tenangnya, beliau membuat keputusan yang berani—walaupun akur keputusan itu mungkin akan memendekkan, atau mengakhiri kerjaya politiknya. 

Namun beliau tetap melangkah. Kerana pada dirinya, negara ini sentiasa lebih utama daripada dirinya sendiri.

Hari ini, saat kepercayaan terhadap ahli politik semakin merosot—bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia—kita perlu melihat kembali kepada pemimpin seperti beliau, sebagai sumber harapan dan tauladan. Apa jua perbezaan pandangan atau kritikan yang pernah wujud, ada satu hakikat tidak boleh dinafikan; Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa sinar harapan. 

Beliau membuka ruang demokrasi, menggalakkan perbincangan terbuka dan memberi peluang kepada rakyat untuk bersuara—bukan melalui paksaan, tetapi dengan kepercayaan terhadap kebijaksanaan mereka.

Pak Lah mengangkat kembali maruah institusi kehakiman yang telah lama dibelenggu, memberi nafas baharu kepada prinsip keadilan dan integriti. Di bawah kepimpinannya, bermula sebuah era perubahan senyap yang menghidupkan semula suara rakyat—suara yang selama ini terpendam dan terpinggir. Beliau membina asas kepada keberanian rakyat untuk menolak rasuah, menentang penyalahgunaan kuasa, dan mempercayai kekuatan perubahan melalui undi dan demokrasi.

Benar, beliau mungkin tidak sempat menyempurnakan semua cita-citanya. Ada usaha yang telah dihentikan oleh mereka yang lebih mementingkan kuasa. Namun warisan yang ditinggalkannya kekal menjadi tiang seri kepada impian kita untuk sebuah Malaysia yang lebih adil, lebih terbuka, dan lebih bermaruah. Dan kita, sebagai rakyat yang menghargai jasanya, akan terus mempertahankan legasi beliau. 

Ia tidak mudah. Ia menuntut keberanian, kesabaran dan pengorbanan. Tetapi kita akan teruskan perjuangan itu. Kerana beliau telah menunjukkan kepada kita bahawa jalan itu wujud—dan bahawa ia boleh dilaksanakan.

Terima kasih, Uncle Abdullah. Terima kasih kerana mencintai negara ini dengan setulus hati. Terima kasih kerana mendidik kita bahawa kelembutan bukan kelemahan, dan prinsip adalah kekuatan sebenar seorang pemimpin.

Uncle kini telah kembali ke sisi Ilahi—dengan redha, dengan damai. Berehatlah dengan tenang, wahai negarawan kami yang dikasihi. Kami akan terus membawa legasimu ke hadapan—dengan rasa bangga, penuh syukur, dan dengan azam yang tidak akan luntur. - Getaran, 15 April 2025