'Terima Keputusan Istana Negara Demi Kebaikan Malaysia, Jangan Derhaka' – Ahmad Zahid

Politics
24 Nov 2022 • 3:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Zahid Hamidi - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak kekal tenang dan menerima keputusan Istana Negara berhubung pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Malah, Presiden UMNO itu mengingatkan supaya tidak ada mana-mana pihak derhaka dengan pengumuman terbabit walau tidak suka dan kecewa mendengar keputusan berkenaan.

“Terima kasih atas sokongan padu penyokong yang menzahirkan dukungan mereka sebentar tadi.

“Jangan derhaka sedikit pun walau tidak suka dan kecewa dengan keputusan dibuat Tuanku! Daulat Tuanku!,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kini masanya untuk Malaysia kembali membina negara, demi kebaikan semua agama dan bangsa.

“Demi anak cucu keturunan kita.

“Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Istana Negara hari ini menerusi kenyataan selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan untuk Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda memberi perkenan terbabit.

Menurutnya, ia selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PKR itu dijadual mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 5 petang ini.

Keputusan PRU-15 pada Sabtu lalu menyaksikan BN tewas teruk apabila hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, sekali gus menjadi sejarah hitam kepada gabungan itu.

Bagaimanapun, parti itu menjadi ‘kingmaker’ selepas Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk pentadbiran baharu sehingga Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya sebuah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Pada PRU-15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN mendapat 73.

Susulan itu, PN dan PH berusaha ‘memenangi hati’ BN supaya mereka memiliki kerusi mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Isnin lalu, PH diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadir ke Hotel Seri Pacific bagi mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan BN untuk berunding mengenai hasrat pembentukan kerajaan.

Manakala selepas empat hari kemelut Parlimen tergantung berterusan, PN menemui beberapa pemimpin kanan BN yang dipercayai atas tujuan sama.

Semalam, UMNO memutuskan untuk tidak menyokong PN kerana mahu membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan dibuat pada Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu adalah bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“MKT mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang dijalankan Jawatankuasa Perundingan BN dengan PH dan PN.

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong serta mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui PN, bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya menerusi kenyataan awal pagi ini. – Getaran, 24 November 2022