Terima Rasuah Dan Salah Guna Kuasa, Ketua Jabatan Bergelar Datuk Direman

18 Oct 2022 • 1:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Suspek ditahan sekitar jam 8 malam semalam. - Gambar ihsan SPRM

PUTRAJAYA - Seorang ketua jabatan bergelar Datuk ditahan selepas dipercayai menerima rasuah dan menyalahguna kuasa, berhubung pelantikan sebuah syarikat.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 40an itu ditahan sekitar jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurut beliau, pelantikan syarikat tersebut dibuat bagi tujuan perolehan empat buah kenderaan pada 2017.

“Perolehan empat buah kenderaan yang dibuat pada 2017 itu berjumlah lebih RM290,000 bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi terbabit,” katanya kepada Getaran.

Sumber memberitahu, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober, setelah permohonan reman oleh SPRM dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - Getaran, 18 Oktober 2022