Terima Sambutan Hangat, Filem Babah Masuk Pasaran Singapura Sebelum Ke Borneo

LocalEntertainment
26 Dec 2024 • 12:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Filem Babah yang mengaut kutipan RM6 juta dalam tempoh hampir tiga minggu tayangannya bakal masuk pasaran Singapura bermula Khamis dan diikuti ke Borneo.

Memetik laporan HibGlam, penerbitnya, Nadua Mohd Nadzri berkata sambutan luar biasa terhadap kisah kekeluargaan mengenai pengorbanan seorang bapa kelainan upaya (OKU) pendengaran itu turut mendapat permintaan di Borneo.

Filem Babah masuk pasaran Singapura diikuti Borneo

image is not available

“Sejujurnya saya dan pasukan Nads Media Entertainment terharu dengan maklum balas ramai terhadap cerita mengenai hubungan bapa dengan anak perempuannya yang menyentuh hati khalayak.

“Walaupun sudah hampir tiga minggu di 99 pawagam seluruh negara, masih ramai penonton datang, bahkan kami difahamkan gelombang kedua sedang bermula dengan kehadiran cuti hujung tahun.

“Esok Babah akan memasuki panggung wayang di Singapura sebelum ke Sabah dan Sarawak. Hakikatnya sokongan penonton membuatkan kami sangat menghargai maklum balas ini,” katanya.

Tambahnya, naskhah sarat emosi yang turut mendapat suntikan Dana Kandungan Digital (DKD) itu juga dalam perancangan dibawa ke Indonesia.

image is not available

Menurut Nadia, sambutan diraih biarpun ketika ini Babah bersaing dengan beberapa filem lain dan ini adalah disebabkan keikhlasan semua pihak yang terbabit dalam pembikinannya.

“Kami memberikan sepenuh jiwa dan merealisasikan kisah ini dengan ikhlas yang membuatkan Babah cukup menyentuh dan menusuk hati khalayak.

“Seluruh produksi juga tidak menjangka Babah tular dalam media sosial sehingga menjadi bualan apatah lagi semuanya berlaku secara organik.

“Tiada apa lagi yang mampu saya katakan mengenai sambutan luar biasa ini. Kami hanya bekerja dengan hati yang tulus membabitkan cerita benar ini,” ujarnya.

image is not available

Babah yang ditayangkan bermula pada 5 Disember lalu dibintangi pelakon hebat tanah air iaitu Qi Razali, Sweet Qismina, Cristina Suzzane, Adam Lee dan Kis aisha.

Filem ini berkisarkan pengorbanan seorang bapa yang berma Isyak untuk anak perempuannya, Maya.

Sumber: HibGlam (Hanisah Selamat)