Terjatuh Sungai Ketika Memancing, Remaja Lelaki Ditemukan Meninggal Dunia

9 Jul 2025 • 3:26 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota pada petang Selasa ditemukan meninggal dunia kurang 24 jam selepas kejadian.

Bapa tak tahu mangsa keluar memancing

Menurut laporan Malaysia Gazette, mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, ditemukan oleh pasukan bomba tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, berhampiran Rumah Pam Kobat, Kuantan.

image is not available

Foto: Harian Metro

Difahamkan, jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, bapa mangsa Razmi Yaacob, 56, memaklumkan bahawa anaknya tidak memberitahu langsung mahu keluar memancing seperti kebiasaannya.

“Selalunya kalau dia nak memancing, dia akan ajak saya, tapi semalam (Selasa) dia keluar senyap-senyap bersama kawan-kawan,”katanya.

Razmi yang mengusahakan bengkel kereta berkata, dia menerima panggilan memaklumkan tentang kejadian sekitar jam 7.20 petang, ketika berada di bandar Kuantan.

“Saya sangka dia keluar bermain bola macam biasa setiap petang, jadi bila polis telefon beritahu dia jatuh sungai dan dikhuatiri lemas, saya sangat terkejut. Ketika itu saya dalam perjalanan ke klinik, tapi terus batalkan dan bergegas ke lokasi,” ujarnya.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut Razmi, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya ialah pada Ahad lalu.

Walaupun mereka tinggal berasingan selepas dia berpisah dengan ibu mangsa, namun mereka tetap berhubung rapat.

“Setiap hujung minggu saya akan luangkan masa dengan dia. Ahad lepas dia nampak biasa saja, tak tunjuk sebarang perubahan pun,” jelasnya.

Dia turut dimaklumkan bahawa anaknya memancing bersama beberapa rakan di tebing sungai sebelum dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam air.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat sebelum tergelincir dan tenggelam.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Katanya, pihak polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 7.30 malam dan segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian (Nik Amirulmumin Nik Min)