KUALA LUMPUR - Ungkapan ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’ mungkin kedengaran klise, namun bagi Rosli Mohd Nordin, ia adalah realiti hidup yang membentuk jiwa seninya.
Sebagai penerbit dokumentari bebas, tenaga pengajar (trainer) dan model iklan, Rosli tidak sekadar mengembara hampir 40 negara malah beliau menyimpan setiap paparan budaya dan pengalaman peribadinya itu menjadi bahasa visual yang diluahkan di atas kanvas.
Menariknya, di sebalik latar profesional dalam dunia media dan penyiaran, Rosli memilih untuk bertatih dari bawah dengan mencipta nama sebagai pelukis amatur self-taught, tanpa pendidikan formal dalam seni lukis, namun kaya dengan rasa, pengalaman dan interpretasi peribadi.
“Pengalaman ditolak menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuatkan saya agak kecewa, namun saya melihat dari sudut yang positif dan beranggapan ia bukanlah yang terbaik untuik saya.
“Alhamdulillah, selepas menamatkan pengajian di Tingkatan 6 (Sekolah Menengah La Salle, Petaling Jaya), saya menyambung pengajian dalam bidang media dan komunikasi di Universiti Malaya.
“Sebagai individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang media dan komunikasi, saya dapat menguasai kemahiran menulis, menerbitkan berita dan dokumentari (penyiaran) serta menguasai ilmu perhubungan awam yang lebih baik,” katanya yang bercita-cita mahu menganjurkan pameran lukisan solonya suatu hari nanti.
Cerita Rosli lagi, bagi kemahiran melukis, beliau belajar sendiri dengan menonton Youtube dan Instagram dan mengunjungi galeri seni bagi mempelajari teknik dan kaedah lukisan-seni tampak di era moden kini .
**media[3526494]**
Dari kamera ke kanvas
Kerjayanya dalam bidang penyiaran membuka ruang untuk beliau melihat dunia dari pelbagai perspektif budaya, manusia dan emosi yang sukar ditebak, namun segala yang dirakam dalam kamera, tidak berhenti di situ.
“Bekerja sambil mengembara membolehkan saya menelusuri pelbagai budaya masyarakat global. Semua itu saya simpan dalam memori dan bila melukis, saya terjemahkan dalam bentuk visual di atas kanvas.
“Lukisan ialah cerita dan nilai kehidupan yang diterjemahkan melalui palitan warna mengikut gaya, stroke (garis), kecenderungan, minat, pengalaman hidup dan bagaimana seorang artis (pelukis) menterjemahkan karya masing-masing.
“Dunia semakin semakin terbuka, penggunaan medium tidak hanya terbatas menggunakan cat air (water colour), cat minyak dan akrilik semata-mata, pelbagai medium seperti bahan terbuang, fabrik, kayu, besi, medium, sintetik, kertas sebagainya. Di barat, khalayak amat terbuka dan mereka lebih menghargai setiap karya yang dihasilkan oleh artis-artis,” jelas Rosli yang merupakan anak kelahiran Kampung Gajah, Perak ini.
Medium pilihan Rosli ialah akrilik, dengan kecenderungan kepada lukisan abstrak yang sarat dengan emosi, beliau banyak menggunakan teknik impasto iaitu teknik sapuan cat tebal dan bertekstur yang memberi dimensi fizikal kepada perasaan yang ingin disampaikan.
“Saya tidak melukis untuk nampak cantik semata-mata. Saya melukis untuk menuang rasa di atas kanvas agar ia diterjemahkan melalui penceritaan berwarna. Tekstur itu penting kerana emosi manusia tidak hanya dilihat secara komunikasi satu arah, ia berlapis-lapis dan kadangkala sukar untuk difahami.
“Melalui karya yang saya hasilkan, jika 25 tahun dahulu, saya masih tercari-cari identiti dan teknik yang sesuai dengan jiwa, minat dan kecenderungan saya.
“Kini setelah melalui pelbagai proses ‘seni’ saya mempunyai kematangan dan ketajaman yang lebih baik dalam setiap karya-catan yang saya hasilkan,” tegas Rosli lagi yang menjadikan Rembrandt van Rijn, Vincent van Gogh, Jackson Pollock, Claude Monet dan Willem de Kooning sebagai idola beliau.
**media[3526493]**
Bakat terpendam yang kembali bernafas
Bakat melukis Rosli sebenarnya telah dipupuk sejak usia sembilan tahun. Namun seperti kebanyakan remaja, laluan hidup membawa beliau ke dunia akademik dan kerjaya sebagai pengamal media. Dunia seni lukisnya seolah-olah ‘terhenti seketika’ sebelum kembali hidup ketika pandemik COVID-19 melanda.
“Waktu dunia jadi sunyi, saya kembali kepada diri sendiri. Melukis jadi terapi paling jujur untuk saya lepaskan emosi marah, gembira dan kecewa. Sejak itu, saya telah menghasilkan lebih 50 karya lukisan abstrak di atas kanvas pelbagai saiz, setiap satu membawa cerita, memori dan refleksi perjalanan hidup yang berbeza.
“Saya bukan pelukis profesional, tapi saya percaya saya ada sense of art yang datang daripada pengalaman hidup. Kemahiran seni saya bukan dari teori, tapi dari rasa.
“Karya-karya saya mula mendapat perhatian rakan-rakan dan dari situlah ia berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan. Karya saya kini menghiasi ruang rumah dan pejabat malah dijadikan hadiah bernilai sentimental,” cerita Rosli.
Impian: Dari galeri rumah ke pameran solo
Sebahagian besar karya Rosli kini dipamerkan di ruang kediamannya yang dikenali sebagai “Galeri Rimbun Gasing”.
Namun beliau kini sedang melangkah ke fasa lebih serius dalam perjalanan seninya kerana sedang membuat persiapan untuk pameran solo pertama, satu langkah penting bagi memperkenalkan karya dan identiti seninya kepada khalayak lebih luas.
**media[3526492]**
“Saya bermula dengan melukis untuk diri sendiri. Tapi sekarang saya rasa sudah sampai masa untuk berkongsi cerita ini dengan orang lain, melalui pameran solo yang akan diadakan pada Ogos depan. Bagi saya, seni bukan sekadar estetika, ia adalah ruang untuk memahami diri dan dunia serta peluang setiap artis berkongsi cerita mereka.
“Melukis bagi saya adalah terapi paling jujur. Apa yang saya tak mampu ungkap dengan kata-kata, saya luahkan melalui warna dan tekstur.
“Oleh itu, saya menyimpan impian untuk membuka sebuah studio dan kafe seni, ruang di mana seni, makanan dan komuniti bertemu, agar karya dan cerita saya dapat dikongsi dan memberi inspirasi kepada orang ramai,” kongsi Rosli tentang cita-cita beliau.
