
KUALA LUMPUR – Kejayaan demi kejayaan terus melakar sejarah buat syarikat tempatan milik Bumiputera apabila D’Herbs diumumkan sebagai penerima Nanyang Best Entrepreneur Award 2026.
Menerusi perkongsian di akaun Threads @shahidadherbs, Datin Seri Shahida Mohd Rashid memaklumkan beliau dan suami, Datuk Seri Aliff Syukri, benar-benar terkejut dengan pengumuman tersebut, apatah lagi apabila D’Herbs menjadi satu-satunya syarikat Melayu Bumiputera yang menerima pengiktirafan berprestij itu.
Menurut Datin Shahida, anugerah berkenaan merupakan pembuka tirai kejayaan pertama untuk tahun 2026, sekali gus meninggalkan kenangan yang cukup bermakna buat mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah, ini anugerah pertama untuk 2026. Mama sangat terharu sebab kaum dan bangsa lain nampak kami sebagai syarikat yang kerdil,” katanya.
Lebih menyentuh hati, beliau mengakui tidak menyangka usaha membina empayar perniagaan selama ini diperhatikan dan dihargai oleh pelbagai pihak, termasuk daripada kaum dan bangsa lain. Ujarnya, pengiktirafan itu diharapkan menjadi titik gemilang untuk D’Herbs terus melangkah jauh sepanjang tahun ini.
Perkongsian tersebut turut mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa bangga dan terharu, bukan sahaja terhadap pencapaian perniagaan, malah hubungan erat pasangan suami isteri itu yang sering dilihat saling menyokong dalam setiap kejayaan.
Ada yang menyifatkan Datuk Seri Aliff Syukri sebagai seorang suami yang romantik kerana sering membawa isterinya bersama setiap kali menerima anugerah, malah ada yang memuji keikhlasan dan keserasian mereka ketika berada di pentas. Dalam masa sama, kejayaan itu dilihat sebagai bukti bahawa usahawan tempatan tidak wajar lagi merendahkan diri, sebaliknya perlu berbangga dan menjadikan pencapaian sebegini sebagai contoh kepada masyarakat Melayu untuk terus maju.
Tidak kurang juga yang berpandangan, anugerah tersebut sememangnya layak diterima apabila usaha gigih dan cara pengurusan empayar D’Herbs oleh pasangan itu kini mula mendapat pengiktirafan di peringkat lebih tinggi.
Pengiktirafan Nanyang Best Entrepreneur Award ini sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan D’Herbs sebagai antara syarikat tempatan yang berjaya mengharumkan nama usahawan Bumiputera, selain menjadi suntikan semangat untuk terus melangkah lebih jauh pada tahun 2026.
Dari Bawah Naik Ke Puncak: Perjalanan Membina Empayar D’Herbs
Untuk rekod, Datuk Seri Aliff Syukri memulakan perniagaan D’Herbs dari bawah dengan fokus kepada produk kesihatan dan kecantikan tempatan, sebelum jenama itu berkembang pesat melalui strategi pemasaran berani dan pendekatan luar kotak. Bermula dengan produk tradisional, D’Herbs kini dikenali sebagai antara jenama tempatan yang mempunyai rangkaian produk luas serta pasaran yang semakin kukuh.
Di sebalik kejayaan tersebut, Datin Seri Shahida memainkan peranan penting dalam mengurus dan memperkukuhkan struktur perniagaan, termasuk aspek pengurusan dalaman dan penjenamaan. Gandingan suami isteri ini sering dilihat saling melengkapi, seorang di hadapan sebagai wajah jenama, seorang lagi di belakang tabir memastikan empayar terus stabil dan berkembang.
Perjalanan mereka yang bermula dengan cabaran dan skeptikal ramai kini menjadi bukti bahawa usaha, kesabaran dan keyakinan diri mampu membawa syarikat Bumiputera berdiri setaraf dengan jenama besar lain, sekali gus mengubah tanggapan “syarikat kerdil” kepada simbol kejayaan yang dibanggakan. – The Malaysian Update
The post Terkejut & Terharu, D’Herbs Terima Nanyang Best Entrepreneur Award 2026 appeared first on The Malaysian Update.
