
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bayi yang sedang membesar pastinya sedang sibuk meneroka dunia mereka, malah setiap hari pasti ada suatu perkara atau kemahiran baharu yang dipelajarinya.
Sebagai ibu bapa tak dinafikan ramai yang akan sentiasa peka dengan gerak-geri mereka serta memastikan si comel akan sentiasa berada di kawasan selamat.
Namun adakalanya kemalangan boleh berlaku secara tidak sengaja.
Bapa sedih anak bongsu kena air panas daripada periuk nasi
Perkara sama turut menimpa pasangan suami isteri di Sarawak apabila bayi lelaki mereka yang berusia lima bulan mengalami melecur hampir di keseluruhan badan disebabkan terkena air panas pada 8 Mei lalu.
Insiden yang berlaku itu secara tidak langsung membuatkan bapa, Mohammad Friziny Jainal, 39, berasa sedih dengan kejadian menimpa anaknya.
“Saya sangat sedih dan tak sangka perkara ini menimpa anak kami,” katanya.
Menurut Friziny, insiden tersebut berlaku sekitar jam 7 pagi. Katanya, dia ketika itu sedang berada di belakang kediamannya di Sungai Plan, Bintulu Sarawak untuk menyediakan barang jualan.
Bayi dalam walker tertarik wayar periuk nasi
“Semasa kejadian, isteri, Dayang Norlizawati Awang Umar, 35, berada di dapur manakala anak bongsu kami, Mohammad Firas Aisy yang berusia lima bulan yang diletakkan di dalam walker bayi berada di ruang tamu.
“Sebelum kejadian, isteri ada masak nasi. Semasa melakukan kerja di dapur, isteri tidak perasan bayi kami berada di dapur dan menarik wayar periuk nasi yang terjuntai.
“Isteri yang mendengar bunyi benda jatuh, terkejut apabila melihat anak dipenuhi nasi dan air panas. Saya yang berlari masuk ke dapur melihat badan serta muka anak merah dan dia menangis dengan kuat,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Bayi usia lima bulan dimasukkan ke zon merah sebaik sampai di hospital
Rentetan daripada kejadian itu, dia dan isteri lalu segera ke Hospital Nyabau dan apabila tiba di hospital bayi mereka kemudian dimasukkan ke zon merah untuk rawatan lanjut.
Kejadian menimpa si kecil itu turut menyebabkan dia mengalami luka melecur hampir di seluruh badan dan terpaksa menjalani pembedahan untuk menampal kulit melecur.
Jalani pembedahan untuk tampal kulit melecur
“Kami dimaklumkan anak mengalami luka melecur hampir di seluruh badan terutama di bahagian depan membabitkan dada, tangan, kedua-dua paha dan kaki kiri selain muka.
“Aisy menjalani pembedahan bagi menampal kulit yang melecur, semalam (14 Mei). Pembedahan yang bermula jam 11.30 pagi hingga 5 petang itu mengambil masa lebih lima jam.
“Bayi kami dibalut hampir keseluruhan badan dan kini ditempatkan di wad kebakaran selepas beberapa jam dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) kanak-kanak sejurus pembedahan selesai, semalam.”
Aisy merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Pasangan suami isteri ini turut memaklumkan mereka sebelum ini sudah lama menanti kehadiran anak bongsu berkenaan.
“Saya dan isteri lama tunggu kelahiran Aisy memandangkan kami mahu menambah cahaya mata lelaki. Daripada lima anak berusia antara 20 tahun hingga lima bulan, anak sulung dan bongsu adalah lelaki.
“Dari anak lahir lagi, kami menjaganya dengan rapi. Malah, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaganya. Namun disebabkan lalai sekejap, kejadian ini berlaku.
“Sejujurnya, saya pasti amat sedih dengan apa yang berlaku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Justeru, saya minta doa daripada orang ramai supaya Aisy cepat sembuh,” ujarnya lagi.
