
Tentera Israel menyekat Flotilla Global Sumud dan menahan aktivis yang berada di atas kapal tersebut. Beberapa pihak menyifatkan tindakan penahanan ini sebagai penculikan, keganasan dan Israel sebagai lanun.
27 rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaan itu dengan 23 orang berada di atas kapal dan empat sedang memantau pergerakan kapal.
497 aktivis global dari 46 buah negara menyertai misi Global Sumud Flotila kali ini, misi kemanusiaan terbesar pernah digerakkan aktivis. Selain Malaysia, negara yang mempunyai aktivis teramai adalah Turkiye (56), Sepanyol (49), Itali (48) dan Tunisia (28).
10:13 am: 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel.
Jurucakap Global Sumud Flotilla Saif Abukeshek menerusi Instagram mengesahkan Israel sudah memintas 13 kapal.
Menurutnya, 201 aktivis dari 37 buah negara berada di atas kapal tersebut termasuk 30 aktivis dari Sepanyol, 22 dari Itali, 21 dari Türkiye dan 12 dari Malaysia.
"Kami masih mempunyai sekitar 30 buah kapal yang masih berjuang melepasi kapal tentera penjajah untuk cuba mendarat di perairan Gaza. Mereka masih berjuang. Mereka masih bersemangat dan akan cuba melakukan apa sahaja yang boleh untuk cuba melepasi [pengekangan] ini menjelang awal pagi dan tiba bersama-sama," katanya.
9:27 am: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam kekerasan kepada aktivis dan sukarelawan Malaysia yang sedang dalam perjalanan ke Gaza.
Dalam kenyatan dikeluarkan di Facebook, beliau menggesa semua aktivis yang ditahan dibebaskan dengan segera.
"Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
"Flotila tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia. Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan," tulisnya.
Tambahnya, Malaysia akan mengambil semua langkah perundangan bagi mempertanggungjawabkan Israel atas tindakan ini, terutama kerana rakyat Malaysia terlibat.
Beliau turut menegaskan yang Malaysia akan terus kekal berdiri di belakang aspirasi perjuangan Palestin selagi mana hak mereka dilanggar.
"Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan di Facebook turut mengecam tindakan penahanan tidak sah Israel.
“Tindakan Israel menggunakan meriam air dan menceroboh kapal secara haram adalah salah di sisi undang-undang perairan antarabangsa. Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan bacul ini dan menggesa agar semua sukarelawan yang ditahan dibebaskan segera.”
8:52 pagi: Heliza Helmi; adiknya, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad adalah rakyat Malaysia terbaru ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel.
Heliza dan Hazwani menaiki kapal Hio, sementara Nurfarahin dan Danish menaiki kapa Grande Blu.
Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala Hio pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.
7:50 pagi: Penyanyi, Zizi Kirana antara lapan individu ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel ketika misi kemanusiaan di atas kapal Huga, yang merupakan sebahagian daripada konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
Tujuh lagi ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma selain Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius, , lapor Sumud Nusantara Official.
Status lima lagi rakyat Malaysia iaitu PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang menaiki kapal Estrella, serta Ardell Aryana yang berada di kapal Mikeno, masih belum diketahui, lapor Bernama.
Setakat 6 pagi waktu Malaysia, sistem pengesan SNCC melaporkan sembilan kapal berada pada status “diserang” manakala 13 kapal lagi menghantar isyarat “kecemasan”.
MENYUSUL

